telur lompat parti
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang tidak seharusnya menggunakan alasan lompat parti untuk membawa usul bagi meminta empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Perikatan Nasional (PN) untuk mengosongkan kerusi masing-masing.

Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, dua ADUN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tidak keluar parti manakala dua ADUN yang dahulu bersama PKR dipecat.

Beliau yang juga bekas Ketua Penerangan Bersatu mendakwa, usul tersebut mempunyai kaitan dengan usaha menghapuskan suara PN di negeri itu.

“Mereka boleh tunggu sehingga pilihan raya negeri (PRN) tapi mereka tak mahu.

“Mereka boleh pinda Perlembagaan supaya selari dengan semangat Akta Anti Lompat Parti Persekutuan tetapi mereka tidak mahu,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini,

Usul berkenaan yang dibentangkan dalam sidang DUN hari ini melibatkan ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin serta Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Lazim (Teluk Bahang).

Mereka memenangi kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) atas tiket Pakatan Harapan (PH).

DUN Pulau Pinang meluluskan Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012 pada 1 November 2012. – MalaysiaGazette