PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Digital tidak menolak kemungkinan akan mewujudkan satu rangka kawal selia untuk menjamin tahap keselamatan aplikasi dan peranti-peranti digital serta siber yang digunapakai oleh penjawat awam terutama anggota pentadbiran dalam kerajaan.
Menterinya Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, langkah itu bagi mengelak dan memastikan peranti dan aplikasi digital media sosial yang digunakan oleh penjawat awam sentiasa selamat dan tidak digodam pada masa akan datang.
Buat masa ini kementeriannya belum sampai ke mana-mana tahap membuat keputusan melarang penggunaan peranti dan aplikasi media sosial seperti tik tok dan sebagainya oleh warga KKD semasa waktu bekerja di pejabat dan agensi kerajaan sepertimana dikuatkuasakan agensi lain terutama Polis Diraja Malaysia bagi mengelak ancaman keselamatan.
Pun begitu beliau prihatin tentang penggunaan aplikasi seperti TikTok, Instagram, Facebook dan lain-lain di tempat kerja yang secara tidak langsung berisiko mendedahkan perkara-perkara sensitif atau rahsia besar yang dibincangkan.
“Saya sudah meminta pihak Cyber Security Malaysia (CSM) untuk menyelidik aspek keselamatan bagi semua aplikasi dan peranti media sosial yang ada dalam kegunaan di negara ini.
“Kita tidak mahu berlaku apa-apa perlanggaran terhadap Akta Rahsia Rasmi, contohnya dokumen-dokumen yang kita pegang mungkin bersifat terkelas,jadi aspek keselamatan itu sangat penting,” katanya selepas berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi Digital di sini petang tadi.
Fahmi menambah, pihaknya masih di tahap meneliti, menilai dan mengadakan siri perbincangan, ke arah mewujudkan rangka kawal selia yang dicadangkan itu namun belum ke tahap membuat keputusan.
“Jadi proses dia masih panjang tapi kita mengambil maklum di sesetengah negara mereka telah membuat keputusan dalam soal ini dan saya minta pihak kementerian mengkaji asas-asas keputusan itu.
“Langkah ini, bukan untuk kita tiru negara lain tetapi untuk lebih memahami sebab musabab dan sekiranya ada apa-apa aspek yang terpakai dalam konteks Malaysia, maka kita perlu mengambil tahu dan menyediakan opsyen-opsyen yang bersesuaian nanti,” ujarnya.-MalaysiaGazette