Sabah Sarawak
Fadillah Yusof. Foto MUHD NA’IM, 31 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu teliti semula cabaran industri perabot dunia untuk kekal sebagai pemain utama, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Industri perabot di Malaysia memerlukan penelitian semula dari segi meningkatkan kepakaran mahir tempatan, mengguna pakai teknologi Revolusi Industri 4.0, dan meningkatkan kualiti dan penyeragaman produk.

“Di samping itu, industri menyelami keperluan pasaran tertentu juga akan membolehkan pengeluar perabot Malaysia meneroka permintaan yang belum diterokai di kawasan khusus yang tidak dipenuhi oleh pengeluar lain,” katanya ketika merasmikan pembukaan Pameran Eksport Perabot (EFE) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Ia dibuktikan dengan peningkatan nilai eksport industri perkayuan yang mencatatkan nilai sebanyak RM25.21 bilion pada tahun lalu.

Jumlah itu meningkat sebanyak 10.61 peratus berbanding RM22.74 bilion pada 2021.

“Dalam Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN 2030), kita menyasarkan nilai eksport kayu balak dan hasil kayu sebanyak RM28 bilion menjelang 2025 dan RM32.8 bilion menjelang 2030,” katanya lagi.

Fadillah berkata sejak 1986, Malaysia telah mengalami perkembangan pesat dalam industri perabot, tetapi kadar pertumbuhan merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan oleh pertumbuhan produktiviti yang tidak stabil dan peningkatan persaingan daripada kuasa perabot Asia seperti China dan Vietnam.

“Seperti negara lain, Malaysia turut terjejas akibat pandemik Covid-19 dan masih dalam fasa pemulihan selepas berdepan pelbagai cabaran baharu,” katanya.

Jelas Fadillah, Malaysia merupakan pemain penting dalam pasaran antarabangsa bagi kayu tropika dan produk kayu serta pengeksport utama perabot kayu di seluruh dunia.

Eksport produk perabot kayu menyumbangkan sebanyak RM11.14 bilion pada tahun lalu. – MalaysiaGazette