Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas selesai membayar wang jaminan tambahan RM700,000 yang diperintahkan Mahkamah Tinggi atas pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak di Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 04 FEBRUARI 2021.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 26 Jun depan bagi mendengar rayuan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkaitan sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda bagi kesalahan rasuah dalam pembelian sebuah hotel di Sarawak.

Timbalan Pendaftar, Muhammad Noor Firdaus Rosli menetapkan tarikh itu selepas pihak pembelaan memohon penangguhan pendengaran rayuan yang sepatutnya berlangsung hari ini.

Siti Sarah Khalil, peguam yang mewakili Isa Samad telah memohon penangguhan supaya dapat membalas hujahan pihak pendakwaan.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi mensabitkan Mohd. Isa, 73, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak, oleh Felda.

Ketika itu Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Namun beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan hingga rayuan selesai. -MalaysiaGazette