Misi bantuan bencana banjir UTHM Prihatin yang diketuai Pengurus Yayasan UTHM, Mohd Razif M. Ismail (tengah).

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melancarkan Tabung Mangsa Banjir bagi memberi peluang kepada warga kampus dan masyarakat menderma untuk turut sama membantu meringankan beban mangsa banjir di seluruh negeri Johor.

Misi bantuan bencana banjir UTHM Prihatin menerusi Yayasan UTHM yang diketuai Pengurusnya, Mohd Razif M. Ismail bermula di daerah Kluang pada 3 Mac lalu dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarat Negeri Johor dan Pejabat Daerah Kluang.

Bantuan banjir di daerah tersebut melibatkan empat PPS terpilih iaitu PPS Kampung Bentong Dalam, PPS SJKT Ladang Lambak, PPS SK Kampung Tengah Kluang dan PPS Dewan Kampung Melayu Kluang.

UTHM mengagihkan bantuan berbentuk barang keperluan diri dan makanan seperti bantal, tuala, tikar, tilam, lampin pakai buang dan makanan kering dengan nilai keseluruhan sumbangan berjumlah RM6 ribu.

Manakala pada 5 Mac lalu, misi bantuan bencana banjir UTHM Prihatin menerusi Yayasan UTHM diteruskan ke daerah Muar pula dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarat Negeri Johor dan Pejabat Daerah Muar.

Misi bantuan di daerah itu melibatkan tiga lokasi terpilih iaitu Dewan Jubli Intan Muar (Pejabat Daerah Muar), PPS Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam Bt. 18 dan PPS SMK Sultan Alaudin Riayat Shah, Pagoh.

Bantuan yang disampaikan berbentuk barangan keperluan diri dan makanan seperti bantal, tuala, tikar, tilam, lampin pakai buang dan makanan kering dengan nilai keseluruhan sumbangan berjumlah RM5 ribu.

Selepas ini, bantuan dan sumbangan turut akan disalurkan lagi ke beberapa PPS yang terpilih.

Menurut Naib Canselor UTHM, Profesor Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim sebagai tanda keprihatinan universiti kepada komuniti, pihak universiti komited dalam membantu mangsa banjir semasa dan selepas musibah itu berlalu.

“UTHM sehingga hari ini turut giat mengesan pelajar dan staf yang terlibat dengan banjir untuk diberikan bantuan dan sumbangan pada kadar segera.

“Selain membuat kutipan dana dan mengagihkan bantuan, pihak universiti juga akan menyediakan seberapa ramai sukarelawan bagi membantu kerja-kerja pembersihan kawasan kediaman mahupun kawasan awam.

“Pihak universiti juga bersedia membantu kerajaan negeri Johor dengan menyumbang tenaga dan kepakaran yang ada untuk turut sama membantu masyarakat yang terkesan,” katanya.

Kepada mereka yang ingin membantu, derma anda boleh disalurkan ke akaun Yayasan UTHM 1101-6862-87 (Bank Rakyat).

Sebarang pertanyaan, sila hubungi 012-7399496 atau emel ke [email protected]. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast