Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR- Cukai taksiran fasa 2 bagi kediaman strata di Putrajaya akan dikurangkan sebanyak lima peratus manakala kediaman teres adalah 20 peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurangan cukai taksiran ini diberikan kepada kediaman yang siap dibina selepas tahun 2017, di mana potongan akan diberikan terhadap jumlah cukai taksiran yang dikenakan.

“Setelah meneliti penerangan lanjut daripada pihak berwajib, saya bersetuju agar pengurangan cukai taksiran fasa 2 di Putrajaya diberikan kepada pemilik kediaman strata (selain rumah mampu milik) sebanyak 5 peratus dan pemilik kediaman teres sebanyak 20 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Anwar, pengurangan cukai itu melibatkan hampir 2,700 unit kediaman strata dan teres akan dilaksana mulai 1 Julai 2023 sehingga penilaian semula oleh Perbadanan Putrajaya.

Katanya, pengurangan itu juga adalah selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI melalui elemen Ihsan yang seterusnya dapat dipanjangkan kepada ruang lingkup yang lebih luas bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh penduduk dalam mendepani kos sara hidup khususnya kepada golongan M40 yang memiliki kediaman strata dan teres di Putrajaya.