BATU PAHAT – Penduduk di daerah ini diminta berjaga-jaga dengan sebarang kemungkinan susulan banjir yang masih belum reda dan fenomena air pasang yang dijangka berlaku sehingga Ahad ini.
Pegawai Daerah Batu Pahat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana daerah Nasri Mohd Ali berkata situasi tersebut akan menyebabkan berlakunya peningkatan air di kawasan rendah di daerah itu terutamanya melibatkan kawasan Parit Raja dan Sri Medan.
“Keadaan ini dijangka menyebabkan berlakunya peningkatan bilangan mangsa banjir di daerah ini walaupun keadaan cuaca ketika ini panas…penduduk diingatkan supaya berjaga-jaga dengan situasi tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Katanya, setakat 12 tengah hari tadi, seramai 38,135 orang daripada 10,683 keluarga ditempatkan di 111 pusat pemindahan sementara (PPS) di Batu Pahat.
Sementara itu, menurut beliau situasi banjir di daerah ini belum dikategorikan sebagai ‘banjir termenung’ kerana aliran air masih mengalir dari Sungai Rengit dan Sungai Segamat serta air empangan berhampiran dibuka pada tahap minimum.
“Kami turut menerima cadangan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengepam (air) di kawasan tertentu, bagaimanapun ia tidak boleh dilakukan sehingga keadaan air stabil.
“Kami jangka empat hari atau seminggu akan datang (akan melakukan proses pam)…kita berdoa agar hujan berhenti supaya gerak kerja dapat dilakukan secepat mungkin,” katanya.
— BERNAMA