KUALA LUMPUR- Datuk Dr Radzi Jidin daripada Bersatu mengekalkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Putrajaya selepas mahkamah membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan terhadapnya.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Faizah Jamaludin membenarkan permohonan bantahan awal yang dikemukakan Naib Presiden Bersatu itu untuk membatalkan petisyen yang difailkan Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim.
Hakim memutuskan pempetisyen (Ahmad Faisal) gagal untuk membuktikan amalan rasuah dilakukan sama ada oleh responden (Radzi) atau ejennya.
“Kekurangan fakta dan butiran tertentu mengenai dakwaan rasuah kepada pengundi akan menjadikannya mustahil untuk membuktikan kesnya di luar keraguan munasabah jika perbicaraan diadakan. Saya dapati petisyen itu tidak mematuhi peraturan 4(1)(b) Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya dan oleh itu ia cacat,” kata hakim menerusi prosiding dalam talian hari ini.
Beliau seterusnya berkata, sebagai hakim pilihan raya beliau dikekang oleh kuasa yang diberikan kepadanya di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.
“Kegagalan pempetisyen mematuhi rayuan dan prosedur telah menyebabkan kecacatan bidang kuasa yang menghalang saya daripada mendengar petisyen. Oleh itu petisyen ini dibatalkan,” katanya.
Oleh itu, mahkamah turut memerintahkan Ahmad Faisal membayar kos RM20,000 kepada Radzi.
Peguam Hafarizam Harun, Norhazira Abu Hayan dan Amin Othman mewakili Ahmad Faisal manakala Radzi diwakili Yusfarizal Yussoff.
Dalam petisyen yang difailkan pada 26 Januari lepas, Ahmad Faisal memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan Radzi tidak sepatutnya diisytiharkan sebagai pemenang kerusi Parlimen Putrajaya pada pilihan raya umum ke-15 pada 19 Nov tahun lepas kerana mendakwa ada bayaran RM150 diberikan kepada pengundi supaya mengundi beliau.
Rasuah itu didedahkan menerusi kumpulan WhatsApp pada 21 Nov dan 21 Disember tahun lepas serta 4 Januari tahun ini.
Radzi memenangi kerusi Putrajaya dengan memperoleh 16,002 undi, menewaskan penyandang empat penggal Tengku Adnan Tengku Mansor daripada Barisan Nasional, yang memperoleh 13,692 undi. – Bernama