Antara penyokong yang hadir bagi menyokong Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadapi pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan terdapat tangan-tangan ghaib dalam siasatan terhadap dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Menurut SPRM, ia merupakan inisiatif berasaskan maklumat serta bukti-bukti yang diperolehi sendiri oleh suruhanjaya itu.

“Kertas-kertas siasatan yang telah dilengkapkan kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk kajian dan pertimbangan sewajarnya.

“Proses siasatan tersebut adalah bebas daripada sebarang campur tangan mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dua pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah dihadapkan ke mahkamah daripada siasatan tersebut iaitu bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Saiful Wan Jan dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada akhir bulan lalu, Wan Saiful dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berhubung dua pertuduhan iaitu meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.92 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Muhyiddin pula dituduh dengan tujuh pertuduhan yang mana salah satu adalah berkaitan kes projek Jana Wibawa.

SPRM berkata, tuduhan pihak luar yang mengaitkan arahan itu datang daripada pihak-pihak tertentu adalah tidak benar.

“Tohmahan yang mengatakan siasatan SPRM tersebut atas arahan pihak tertentu dan bermotifkan politik adalah tidak benar sama sekali serta telah menjejas imej Suruhanjaya ini,” katanya. – MalaysiaGazette