Mustapha (kiri) bersama penduduk Kampung Spang Loi menyediakan makanan kepada mangsa banjir di Segamat hari ini.

SEGAMAT – Tersentuh dengan nasib mangsa banjir mendorong penduduk Kampung Spang Loi di sini bergotong-royong menyediakan makanan.

Ia kemudiannya diagihkan secara percuma kepada mangsa dan sukarelawan yang terkesan bencana alam itu setiap hari.

Sekumpulan 10 orang penduduk kampung itu sepakat menyediakan kira-kira 250 pek makanan setiap hari yang bermula seawal 8 pagi lagi.

Salah seorang daripada mereka, Mustapha Yusop, 59 berkata,  idea itu bermula selepas mendapat tahu ramai mangsa dan sukarelawan seringkali lewat menerima bantuan makanan berikutan jalan terputus akibat banjir.

“Kita buat ini sebab sukarelawan yang datang sini ramai. Jadi pusat tak mampu untuk tampung semua sekali. Jadi kita sedia ini untuk dia orang datang makan percuma sahaja.

“Dana-dana semua kita kutip daripada kawan-kawan, saudara mara dan sesiapa sahaja yang sudi untuk memberi.Alhamdulilah ramai yang tampil untuk membantu kami dengan memberi bahan basah. Cukup sekadar ada.

“Pemberian ini kita telah mulakan sejak seminggu lalu. Semakin hari memang semakin ramai yang datang ke sini untuk mengambil makanan. Kita pun rasa gembira bila lihat orang lain gembira,” katanya ketika di temui di Kampung Spang Loi hari ini.

Menurut Mustapha, lebih 15 kilogram beras dimasak setiap hari dengan 10 kilogram ayam, ikan dan juga sayur-sayuran.

Sementara itu, penduduk yang terjejas banjir yang ditemui memuji inisiatif itu kerana usaha berkenaan boleh mengurangkan bebanan yang ditanggung mereka.

Seorang mangsa banjir, Ghani Daud,39, berkata, dengan adanya pemberian makanan percuma itu memudahkan mereka mendapatkan makanan dan tidak berlapar.

“Alhamdulilah memang sangat baik program seumpama ini lebih-lebih lagi adakala kita pun dapat makanan terlalu lewat disebabkan beberapa masalah.

“Jadi dengan adanya kumpulan sebegini membantu sangatlah kami mengisi perut terutama bagi mereka yang mempunyai anak-anak yang masih kecil.

“Saya berdoa sesiapa sahaja yang terlibat dalam usaha sebegini dimudahkan urusannya.Besar pahala mereka beri kami makan,” katanya.

Bagi Shafiq Ahmad,30, pula yang mempunyai ibu bapa yang uzur menyifatkan inisiatif itu sudah pasti meringankan bebannya.

“Syukurlah.Terima kasih sangat-sangat saya ucapkan. Ianya saya boleh ibaratkan bantuan rakyat kepada rakyat.

“Kalau difikirkan balik. Susah juga kalau kumpulan ini tiada kerana ada masa kami terima makanan lambat. Contoh macam diri saya, ada ibu dan bapa yang agak tua. Jadi bila ada pemberian makanan percuma ini memang membantu,” akuinya.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, komuniti di kawasan itu juga telah dibahagikan tugasan masing-masing dalam penyediaan makanan setiap hari.

Selain dilihat memasak dengan mengutamakan kebersihan, kerjasama yang ditunjukkan mereka juga harus dipuji kerana sifat sepakat yang ditunjukkan penduduk di situ. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast