JAKARTA,- Pendirian Indonesia terhadap isu Palestin tidak akan tergugat meskipun pasukan Israel menyertai kejohanan bola sepak Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) yang akan berlangsung di republik itu, menurut Kementerian Luar.
Jurucakap kementerian Teuku Faizasyah berkata penyertaan semua pasukan dan peraturan kejohanan edisi 2023 ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Pendirian Indonesia terhadap isu Palestin tidak pernah berubah dan sangat konsisten,” katanya pada taklimat mingguan.
Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada pelaksanaan kejohanan sebagai tuan rumah akan menggugat pendirian republik terhadap sokongan kepada kemerdekaan Palestin.
Indonesia merupakan antara negara yang senantiasa konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin di semua platform seperti mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kumpulan negara G20, katanya.
Kejohanan Piala Dunia B-20 bakal bermula dari 20 Mei hingga 11 Jun membabitkan 24 negara dan berlangsung di enam lokasi iaitu Jakarta, Palembang, Bandung, Solo, Surabaya dan Bali.
Persiapan kejohanan sedang berjalan termasuk pemberian visa dan pengibaran bendera Israel yang diseliakan oleh Kementerian Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan, kata Teuku Faizasyah.
Pada Dis 2020, FIFA membatalkan kejohanan Piala Dunia B-20 edisi 2021 susulan pandemik COVID-19 dan melantik Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia sebagai penganjur pertandingan edisi 2023.- BERNAMA