BAYAN LEPAS – Kementerian Sumber Manusia (KSM) yakin negara mempunyai peluang cerah dalam mencapai kata sepakat dengan Indonesia bagi mengurangkan kos pengambilan pekerja domestik Indonesia (PDI).
Bagaimanapun, Menterinya, V. Sivakumar berkata, kata capai dengan negara jiran itu akan diputuskan selepas beliau mengadakan perjumpaan dengan Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziyah pada pertengahan Mac ini bagi membincangkan usaha penyelesaian berkait perkara berkenaan.
“Perkara ini telah dibincangkan secara mendalam ketika lawatan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri serta saya sendiri ke Indonesia.
“Jadi kita harap rundingan bersama Menteri Ketenagakerjaan Indonesia dalam lawatan beliau ke Malaysia pada pertengahan Mac akan mencapai satu persetujuan.
“Kalau kita dapat kurangkan kos pada tahap lebih rendah itu menjadi aspirasi dan matlamat kerajaan dan moga-moga kita dapat berbuat demikian pada perjumpaan nanti,” katanya pada sidang media di Spice Arena Convention Centre di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Pengumuman Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2023 Wilayah Utara.
Hadir sama, Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood.
Menurut Sivakumar, kos PDI yang agak tinggi ketika ini iaitu dalam lingkungan RM15,000 adalah berpunca daripada negara sumber itu sendiri.
“Mereka mungkin ada multilevel recuitment (pengambilan pelbagai peringkat) misalnya pekerja domestik itu dibawa dari kawasan pedalaman kemudian diserahkan ke beberapa agensi sebelum dihantar ke Malaysia.
“Jadi ia melibatkan banyak kos dan sebab itu ia naik sampai ke paras sebegini (RM15,000).
“Walaupun kos tersebut tidak dikenakan kepada majikan tapi kita nak elak semua ini kerana kerajaan melihat ia sebagai satu masalah besar juga untuk pekerja formal,” kata beliau.
Media sebelum ini melaporkan Malaysia dan Indonesia akan mengkaji semula kos pengambilan pekerja domestik Indonesia (PDI) dan menetapkan kadar yang lebih munasabah.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, pihaknya berharap kos dapat dikurangkan di bawah RM9,000 berbanding jumlah yang ditetapkan dalam mesyuarat terakhir pada November 2022 sebanyak RM12,000, termasuk kos kuarantin RM3,000. – MalaysiaGazette