Shereen Samson Vallabouy (depan).

KUALA LUMPUR – Atlet olahraga negara, Shereen Samson Vallabouy terus mencipta sensasi apabila meleburkan rekod kebangsaan acara 400 meter (m) luar dewan yang berusia 30 tahun milik Allahyarhamah Rabia Abdul Salam.

Pelari berusia 25 tahun itu berjaya memperbaharui rekod kebangsaan 400m dalam dewan buat kali keempat dengan catatan 52.27 saat (s) untuk memenangi pingat emas pada Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan Divisyen II Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Virginia Beach, Virginia, Amerika Syarikat (AS), awal pagi tadi.

Shereen mengenepi cabaran Shiean Walters yang mengakhiri aksi final di tempat kedua dengan catatan 53.54s manakala Tiffany Hughey ketiga 53.68s.

Shereen yang ketika ini menuntut di Winona State University di Minnesota dijangka meleburkan rekod luar dewan milik Rabia 52.56s yang dicatatkan pada 1993 di Filipina apabila beraksi dalam kejohanan luar dewan bermula hujung bulan depan.

Pada Sukan SEA Hanoi, dua tahun lalu, emas acara 400m wanita dimenangi atlet Vietnam, Nguyen Thi Huyen dengan catatan 52.83s.

Pada Mac tahun lalu, nama Shereen mula menjadi sebutan apabila dia melebur rekod kebangsaan dalam dewan milik Noraseela Mohd Khalid 54.58s yang dilakukan pada 2006 dengan catatan masa 53.79s.

Dia kemudiannya memperbaharui rekod berkenaan dengan catatan 53.47s pada Kejohanan Bearson Gathje Classics di Minnesota, Januari lalu sebelum sekali lagi mengatasinya ketika dia memenangi pingat emas pada Kejohanan Olahraga Jemputan Lewis Illinois, Chicago dengan catatan 52.87 saat (s), bulan lalu.

Catatan yang dilakukan awal pagi tadi adalah kali keempat dia memecahkan rekod kebangsaan 400m dalam dewan dalam tempoh setahun. – MalaysiaGazette