MELAKA – Semua mangsa banjir Orang Asli di Johor dan Pahang akan mendapat bantuan kerosakan rumah selain sumbangan diberikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan daerah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Sapiah Mohd Nor turun padang melihat bantuan yang diperlukan.
“Selain bantuan diberikan JPBN di peringkat negeri dan daerah, saya akan minta Ketua Pengarah JAKOA sendiri untuk turun ke bawah.
“Mungkin bukan hanya (kerosakan) infrastruktur dan jalan tapi perkakasan rumah, pembaikan rumah akan dilakukan dan insya-Allah saya akan koordinasikannya dengan JKOA,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengenalan Calon-calon Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) peringkat negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, setakat ini beliau belum mengetahui jumlah rasmi Orang Asli yang terjejas akibat banjir di kedua-dua negeri berkenaan.
“Tapi kita akan pastikan semua bantuan kita akan selaraskan kepada semua (mangsa banjir),” katanya. – MalaysiaGazette.