MELAKA – Prihatin dengan nasib golongan asnaf di negeri ini, Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) menawarkan tapak pasar Ramadan pada kadar sewaan RM20 sehari menjelang Ramadan minggu depan.
Pengerusi Yayasan DMDI, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, buat permulaan, sebanyak 25 tapak disediakan daripada lebih 50 tapak pasar berkenaan yang akan dibuka di kawasan lapang berhadapan Dewan Tun Ali, Rumah Melaka, Bukit Katil, 23 Mac ini.
Menurutnya, golongan asnaf yang layak akan mendapat pengecualian bayaran deposit tapak RM250 bagi membantu mereka menjana pendapatan sepanjang 30 hari Ramadan kali ini.
“Daripada lebih 50 tapak yang disediakan, kita tawarkan 25 tapak khusus untuk golongan asnaf berdaftar yang tidak perlu bayar deposit tapak RM250 seperti peniaga lain.
“Sebaliknya, golongan asnaf ini hanya perlu bayar sewaan tapak RM20 sehari dan selebihnya termasuk lesen perniagaan akan ditanggung DMDI,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Biro Ekonomi DMDI Datin Seri Azreen Abu Noh.
Mengulas lanjut Mohd Ridhwan berkata, inisiatif itu juga membolehkan golongan asnaf menjual pelbagai juadah berbuka puasa atau keperluan lain mengikut bajet mereka.
“Kita akan benarkan mereka menjual apa sahaja juadah yang lazim dijual di pasar Ramadan, tapi kalau mereka ada barangan lain yang sesuai untuk diniagakan pun kita terima.
“Tujuannya adalah supaya mereka turut berpeluang menjana pendapatan di bulan puasa bermula pukul 3 petang hingga 7 malam sepanjang Ramadan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, DMDI akan menganjurkan dua program besar iaitu Jualan Pra Ramadan Melaka Madani dan Jualan Pra Aidilfitri Melaka Madani pada 21 Mac dan 20 April ini bermula 8 pagi hingga 6 petang.
“Sepanjang dua program ini, kita akan mengagihkan 6,000 kupon diskaun bernilai RM30,000 atau RM5 setiap kupon kepada pengunjung untuk membeli ayam dan daging segar.
“Selain itu, pengunjung juga boleh membeli pelbagai barangan keperluan lain pada harga lebih murah antara lima hingga 20 peratus antaranya telur ayam, minyak masak, sayur-sayuran dan buah-buahan,” katanya. – MalaysiaGazette.