KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO memberi amaran untuk mengambil tindakan terhadap sebuah badan bukan kerajaan di bawah kawal selia Kementerian Belia dan Sukan, Impact Malaysia yang mengajurkan program Projek Artikel 11.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya akan menyaman NGO berkenaan jika program itu melibatkan orang Islam dalam program lawatan ke gereja yang dianjurkan pertubuhan itu.

Serentak itu Muhamad Akmal turut menggesa agar institusi agama Islam di Selangor mengambil tindakan sewajarnya terhadap program berkenaan.

Menurutnya, kebebasan penganut agama lain dijamin dalam Perlembagaan namun terdapat had yang perlu dipatuhi.

“Atas sebab ini saya mendesak sekeras-kerasnya agar pihak penganjur bagi program ini lebih peka dan sensitif terhadap isu ini serta mengambil tindakan wajar untuk halang orang Islam untuk terlibat dalam program ini.

“Saya turut mendesak agensi berkaitan agama Islam dalam negeri Selangor mengambil tindakan sewajarnya dengan kuasa yang diberikan dalam undang-undang untuk menghalang program ini diteruskan jika pihak penganjur berdegil dalam perkara ini,” katanya.

Dalam kenyataan di media sosial, Muhamad Akmal mendesak agar Malaysia Impact lebih peka dan sensitif terhadap agama Islam.

Beliau menegaskan Artikel 11 Fasal 4 Perlembagan Persekutuan membenarkan negeri mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Seksyen-seksyen kesalahan jenayah dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 Selangor juga merupakan terjemahan prinsip di negeri tersebut.

“Malaysia ini agama rasminya adalah agama Islam. Maka sudah pasti diperuntukan dalam undang-undang untuk memelihara kesucian agama Islam dan kepercayaan penganutnya.

“Pada masa yang sama kebebasan penganut agama lain dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Tapi kebebasan ini ada hadnya.

“Prinsipnya adalah setiap penganut perlulah bertanggungjawab dan tidak mengguris penganut-penganut agama lain. Dalam situasi ini penganut Islam,” kata Muhamad Akmal yang baharu memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO pada Sabtu lalu.

Sebelum ini tular poster Impact Malaysia yang mengajak belia bukan Kristian untuk menyertai program ‘Jom Ziarah’ ke sebuah gereja di Kelang, Selangor pada Sabtu ini.

Dalam poster itu diterangkan Projek Artikel 11 mendedahkan belia kepada agama yang berbeza dengan aktiviti lawatan dan sukarelawan untuk menjadikan Malaysia lebih inklusif.-MalaysiaGazette