Parcel yang ditemui polis berisi satu tiub ubat gigi berpenutup berwarna hijau/putih bercorak daun ganja tertera tulisan 'Happy Green' yang mana di dalamnya mengandungi pes putih kehijauan disyaki ubat gigi dan estrak daun ganja dengan berat 80 gram didalam satu bungkusan kotak berwarna coklat.

KUALA LUMPUR – Polis menyiasat laporan mengenai penghantaran bungkusan barang terlarang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang petugas di kaunter pertanyaan Kementerian Ekonomi, Menara Prisma, Presint 3, Putrajaya yang memaklumkan, terdapat bungkusan yang dihantar kepada kedua-dua pemimpin negara itu.

Katanya, berdasarkan maklumat, polis mengesyaki bungkusan itu mengandungi barang terlarang sebagaimana yang pernah di terima oleh Rafizi pada minggu lepas apabila bungkusan tersebut berisi ‘cannabis leaf’ (daun ganja).

“Hal ini telah dimaklumkan kepada Setiausaha Sulit Kanan Menteri Ekonomi iaitu Tuan Rashidi Ruskin,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Wan Kamarul berkata, berdasarkan aduan, dua anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) telah pergi ke alamat yang dinyatakan iaitu di Hub J dan T Pulau Meranti dan merampas barang berkenaan.

Ujarnya, polis menemukan barang tersebut iaitu satu tiub ubat gigi berpenutup berwarna hijau/putih bercorak daun ganja tertera tulisan ‘Happy Green’ yang mana di dalamnya mengandungi pes putih kehijauan disyaki ubat gigi dan estrak daun ganja dengan berat 80 gram didalam satu bungkusan kotak berwarna coklat.

Tambah beliau, setakat ini tiada tangkapan dan sitaan dibuat dan semakan mendapati bungkusan dibeli pengirim melalui ‘Shopee’ yang beralamat di Indonesia.

Siasatan turut mendapati, barang yang dirampas tidak mempunyai kaitan dengan penama yang dialamatkan.

Bagaimanapaun katanya, alamat barangan itu sama dengan kes yang disiasat di bawah seksyen 6, Akta Dadah Berbahaya (ADB 1952) oleh BSJND Putrajaya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 ADB 1952. – MalaysiaGazette