KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa mana-mana pihak agar memberikan bukti dirinya campur tangan terhadap pertuduhan tokoh-tokoh politik ternama di negara ini.
Perdana Menteri menegaskan, sekiranya tiada bukti maka itu adalah tuduhan dan fitnah yang dibuat pihak tertentu terhadap beliau.
“Jangan hukum orang tanpa bukti, kalau ada tindakan jangan hukum saya guna ayat al-Quran. Katakan saya zalim dan campur tangan, sebelah sana boleh jerit sesuka hati tapi kena ingat adakah kamu yakin ada bukti bahawa Anwar campur tangan untuk mendakwa sesiapa.
“Kalau tidak zalim jawabnya, guna mana agama dan fitnah orang sebut nama saya, saya tidak campur tangan, boleh tanya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Peguam Negara malah arahan kepada mereka saya kata apa pun tindakan berdasarkan fakta dan bukti kuat, saya sokong.
“Tetapi jangan aniaya dan ada alasan longgar dicabar dan dipertikai. Soal nak kecam politik boleh tapi ingat jangan kita guna kedudkan untuk menganiaya, kalau bukti ada aniaya macam mana,” katanya dalam sesi pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menjawab pertanyaan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai keseriusan kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap proses tatakelola yang dikatakan tidak telus sebelum PRU15.
Jawab Anwar, siasatan SPRM ataupun Lembaga Hasil Dalam Negeri adalah menyeluruh dan tidak tertumpu kepada satu-satu parti sahaja.
Malah, katanya, baru-baru ini Ketua UMNO Bahagian Shah Alam turut didakwa di mahkamah.
“”Sesiapa sahaja didapati ada membuat kesalahan oleh SPRM dan mempunyai bukti kukuh oleh Peguam Negara maka rakyat harus terima keadaan pendakwaan. Jangan kita ambil tindakan oleh kerana LCS (kapal tempur pesisir) itu melibatkan orang-orang UMNO, kita gugur.
“Arahan saya ada, termasuk LCS dan saya menyatakan bahawa pendakwaan peringkat awal ada pendakwaan saya setuju ia tidak cukup kerana skandal itu adalah besar dan ketirisan berlaku.
“Mesti ada tindakan susulan jawapan yang diberikan SPRM peringkat kedua itu diteruskan dan itu bukan urusan saya untuk mendalami dan tanya lebih daripada itu. Jika saya buat begitu, ada lagi tuduhan pendakwaan terpilih,’ jelas Awnar lagi.
Dalam pada itu, Anwar turut menafikan dakwaan beliau campur tangan dalam kes melibatkan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Anwar berkata, perkara itu boleh dipanjangkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun sekiranya masih terdapat dakwaan campur tangan.
“Ada orang kata TPM ada kes, saya tidak campur. Boleh tanya Ketua Hakim Negara, Peguam Negara bila saya minta dikurangkan atau ditarik balik pertuduhan.
“Soal tohmahan jangan mudah menghukum, saya bukan ahli politik murahan,” tegas Anwar lagi. – MalaysiaGazette