Individu yang dikenali sebagai ‘Datuk Roy' diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 MAC 2O23.

KUALA LUMPUR – Individu yang dikenali  ‘Datuk Roy’ yang dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes penipuan berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Majistret Noorelyna Hanim Abdul Halim membenarkan reman berkenaan selepas dipohon Pegawai Pendakwa SPRM, Ahmad Asyraf hari ini.

Terdahulu, Ahmad Asyraf memohon tahanan reman selama tujuh hari namun peguam yang mewakili ‘Datuk Roy’ membantah kerana permohonan dilakukan dengan alasan yang tidak kukuh.

Semalam, SPRM  telah menahan individu itu pada pukul 3 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.

Sumber berkata, suspek berusia lingkungan 50-an ditahan bagi membantu siasatan kes penipuan berkaitan Jana Wibawa.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Razaliah Ab Rahman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu berkata, kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

Semalam media melaporkan SPRM mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan Program Jana Wibawa.

SPRM dalam kenyataan, memaklumkan lelaki yang dikesan adalah Mohd Hussein Mohd Nasir, 54, yang juga dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ dengan alamat terakhir di No 3, Lorong 3 RRM Semambu, 25350 Kuantan, Pahang.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

SPRM cari Datuk Roy bantu siasatan kes rasuah