Satu-satu kes apabila dihadap ke mahkamah akan ambil masa terlalu lama untuk selesai.

KENAPA satu-satu kes yang dituduh di mahkamah lambat selesai? Persoalan ini sering kali bermain di kotak minda rakyat Malaysia, lebih lagi tertuduh dan mereka yang rapat dengan tertuduh.

Biar Bawah Kolong terangkan. Setiap kes akan bermula dengan dihadapkan ke mahkamah untuk dibaca pertuduhan. Jika tertuduh mengaku bersalah, maka kesnya dianggap selesai.

Keputusan hukuman bagi yang mengaku bersalah dibuat tertakluk kepada kes yang dituduh di bawah seksyen apa. Kalau bunuh, tertuduh terus dimasukkan ke penjara untuk menunggu tarikh hukuman gantung sampai mati atau menjalani hukuman penjara seumur hidup.

Kalau kes rasuah, bergaduh, mencuri, dadah dan jenayah lain yang tidak melibatkan bunuh, kalau tertuduh mengaku bersalah, mahkamah akan menjatuhkan hukuman penjara atau denda. Kes pun dianggap selesai. Jimatkan kos dan masa mahkamah.

Tetapi, sekiranya tertuduh dalam semua kes itu mengaku tidak bersalah, mahkamah terpaksa menetapkan tarikh lain untuk sebutan semula kes, tarikh untuk penyerahan dokumen dan tarikh untuk macam-macam prosedur lagi sebelum tiba kepada hari mahkamah menetapkan tarikh seterusnya.

Berdasarkan pengalaman Bawah Kolong membuat liputan pelbagai jenis kes di mahkamah, prosedurnya hampir sama, iaitu bagi yang mahu dibicarakan, mahkamah akan kenakan ikat jamin dan tetapkan tarikh berikutnya.

Di sinilah bermulanya lambat atau cepat sesuatu kes akan diketahui, kerana jurubahasa mahkamah akan melihat tarikh yang tidak banyak kes atau tarikh yang tidak ada kes untuk ditetapkan kepada tertuduh yang tidak mengaku bersalah.

Sebagai contoh, tertuduh dihadapkan pertama kali ke mahkamah pada hari ini 14 Mac 2023, selepas tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah, mahkamah kena ikat jamin dan jurubahasa mahkamah akan meneliti tarikh yang sesuai untuk ditetapkan bagi sebutan semula kes.

Dalam penelitian itu, jurubahasa mahkamah jumpa satu tarikh yang dianggap sesuai untuk ditetapkan hari berikutnya, seperti 14 Ogos 2023. Tarikh ini dimaklumkan kepada peguam bela dan Pendakwa Raya atau Timbalan Pendakwa Raya.

Kedua pihak ini pula akan merujuk dairi masing-masing, apakah mereka tidak ada kes lain pada tarikh 14 Ogos 2023. Katakan, peguam bela setuju dengan tarikh itu, tetapi Pendakwa Raya atau Timbalan Pendakwa Raya pula tidak dapat hadir pada tarikh berkenaan kerana ada kes lain.

Lalu, mahkamah teliti lagi tarikh seterusnya dan dikatakan tarikh 1 Disember 2023 sesuai untuk mahkamah, maka peguam bela dan Pendakwa Raya atau Timbalan Pendakwa Raya akan rujuk tarikh berkenaan sama ada mereka ada kes lain atau tidak.

Jika peguam bela tertuduh pula ada kes lain pada 1 Disember 2023, sedangkan Pendakwa Raya atau Timbalan Pendakwa Raya sesuai dengan tarikh itu, maka tarikh lain yang masuk tahun 2024 akan dipilih dan ditetapkan.

Inilah punca kenapa satu-satu kes menjadi lambat. Selain, ada juga faktor peguam bela memerlukan masa untuk mendapatkan bahan bukti bagi mengukuhkan hujahan membela anak guamnya atau minta tarikh pertuduhan atau perbicaraan ditangguhkan kerana anak guam sakit, uzur atau perlukan bukti yang lebih kukuh.

Ada yang tanya, bagaimana pula jika tertuduh yang tidak dikenakan ikat jamin kerana kesnya amat berat atau ada tertuduh tidak dapat membayar ikat jamin kerana tidak mampu? Jawabnya, mereka akan dimasukkan ke penjara dahulu sehingga tarikh sebutan semula kes ditetapkan.

Selama mana mereka perlu berada dalam penjara? Selama tarikh baharu ditetapkan. Tidak kiralah sebulan, enam bulan atau satu tahun. Itu memang prosedurnya.

Tetapi, kebanyakan yang dipenjarakan sementara menunggu perbicaraan dan keputusan mahkamah, jika tertuduh didapati bersalah dan dihukum penjara satu atau dua tahun, selalunya mahkamah menggunakan budi bicara, menjatuhkan hukuman pada tarikh tertuduh dipenjarakan atau ada juga hukuman dijatuhkan pada hari keputusan dibuat. Mahkamah ada perkiraannya.

Maknanya, kalau tertuduh yang gagal membayar ikat jamin di awal pertuduhan dan dimasukkan ke penjara sementara menunggu kesnya selesai, tertuduh sudah dianggap menjalani hukumannya, kerana tertuduh sudah merasai nikmat berada dalam penjara, tetapi ada juga sebaliknya.

Dan jika, tempoh hukuman itu berbaki tiga bulan lagi dengan tempoh tertuduh dipenjarakan sebelum ini, tertuduh hanya perlu berada dalam penjara sepanjang baki yang ditetapkan.

Jika tertuduh berada dalam penjara hampir satu setengah tahun dan hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah atas kesalahannya selama satu tahun, selalunya, dia akan dimasukkan ke penjara untuk sehari dua lagi bagi proses pembebasannya.

Tidak adillah tertuduh sudah berada satu setengah tahun dalam penjara, sedangkan hakim mengenakan hukuman satu tahun penjara. Itu kira nasiblah. Kita tidak boleh salahkan mahkamah dan tidak boleh salahkan pihak penjara.

Dalam hal ini, tertuduh adalah mangsa kepada tarikh atau masa yang diperlukan oleh peguam mereka. Mahkamah cuba sedaya upaya untuk mempercepatkan kes. Mahkamah turut mengambil kira azab tertuduh berada dalam penjara sementara menunggu tarikh perbicaraan sehingga kes selesai, tetapi tarikh dan faktor-faktor lain tidak menyebelahi tertuduh.

Sebab itu, dalam kebanyakan kes, kalau melibatkan orang berada atau orang pertengahan atau orang miskin sekali pun, mereka akan usaha cari ahli keluarga atau sahabat untuk membantu sumber kewangan bagi membolehkan tertuduh membayar ikat jamin.

Kalau wang ikat jamin dibayar, tertuduh bebas berada di luar, tetapi tidak boleh pergi jauh melangkaui negara kerana pasport antarabangsanya telah dipegang oleh mahkamah.

Untuk yang dikenakan ikat jamin, mahkamah selalunya dengan tegas memperingatkan kepada orang yang membayar ikat jamin, terutama tugasannya kena pastikan tertuduh hadir ke mahkamah pada tarikh ditetapkan.

Kalau tertuduh tidak hadir, mahkamah boleh keluarkan waran tangkap ke atas tertuduh dan wang ikat jamin itu hangus, dirampas oleh mahkamah dan menjadi sebahagian harta kerajaan.

Di sini, bukan saja pembayar ikat jamin berputih mata hilang duit berpuluh atau ratusan ribu ringgit, tertuduh juga akan menerima nasib bagai jatuh ditimpa tangga. Selepas ini, tertuduh tidak lagi dibenarkan ikat jamin, sebaliknya dihantarkan ke penjara sementara menunggu kesnya selesai.

Bagaimana pula tertuduh yang tidak dapat bayar ikat jamin, berada dalam penjara sementara menunggu perbicaraan serta keputusannya, dan selepas beberapa tahun kemudian tertuduh didapati tidak bersalah? Sedangkan tertuduh sudah begitu lama berada dalam penjara? Jawapannya, anggap sahajalah itu sebagai pengalaman dan pengajaran.

Kesimpulannya, kenapa kes lambat selesai sehingga ada yang mengambil masa dua tahun, tiga tahun, malah tujuh tahun pun ada? Sebabnya tarikh dan faktor peguam bela ada kes lain menyebabkan kesnya ditangguh dan tertangguh.

Sebab, untuk mendapatkan tarikh sesuai bagi peguam bela dan Pendakwa Raya atau Timbalan Pendakwa Raya bersama pada hari ditetapkan bukannya senang.

Mereka perlu mengendalikan puluhan kes setiap bulan. Ada kes di mahkamah Kelantan, ada kes di mahkamah Johor, malah kes yang dikendalikan melibatkan mahkamah di seluruh negara, bukan tertumpu pada satu mahkamah sahaja.

Itulah ceritanya. – MalaysiaGazette