Mohamed (kanan) berbincang dengan Takei sempena lawatan kerja rasmi Timbalan Menteri Luar Jepun itu ke Malaysia.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia menerima kunjungan Timbalan Menteri Luar Jepun yang dalam rangka lawatan kerja rasmi dua hari ke negara ini, hari ini.

Ketibaan Shunsuke Takei disambut rakan sejawatannya, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.

Mereka akan mengadakan mesyuarat dua hala untuk membincangkan hala tuju dalam mengukuhkan hubungan yang telah lama terjalin serta kerjasama dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan Jepun.

Mohamed berjabat tangan dengan Takei sebaik menerima kunjungan rasmi Timbalan Menteri Luar Jepun itu.

Menurut kenyataan Wisma Putra, Mohamad dan Takei akan membincangkan beberapa kaedah untuk meluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, ekonomi, kebudayaan, hubungan sesama rakyat serta ulang tahun ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun.

“Kedua-dua Timbalan Menteri Luar Negeri ini juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” kata kenyataan itu kepada media, hari ini.

Ini merupakan lawatan pertama peringkat tinggi oleh kerajaan Jepun ke Malaysia sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan pada Disember lalu.

Lawatan ini juga akan memacu momentum baharu bagi membuka peluang kerjasama yang belum diterokai demi manfaat bersama kedua negara.

Pada tahun 2022, Jepun merupakan rakan dagangan keempat terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan RM181.51 bilion (USD41.21 bilion).

Sehingga Jun tahun lalu, Jepun adalah pelabur asing ketiga terbesar Malaysia dalam sektor pembuatan untuk projek yang telah dilaksanakan dengan jumlah RM94.5 bilion (AS$28.4 bilion). – MalaysiaGazette