Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Pembangunan Usahawan Teknikal Solar (Prosolar) di Hotel Zenith, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 14 MAC 2023.

PUTRAJAYA – Inisiatif Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak dilaksanakan berasaskan konsep pilih bulu, kata pengerusi baharunya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Tegas beliau, sejak majlis berkenaan ditubuhkan  sehingga kini, semua insiatif di bawah majlis berkenaan diberikan berdasarkan kelayakan bumiputera yang telah ditetapkan, katanya.

“Paling penting bila saya berada dalam MARA, kita bukan memilih daripada dulu lagi. MARA tidak pilih bulu contohnya kita tolong orang UMNO sahaja, tidak begitu.

“Saya pun tengok borang tadi dan prosedur operasi standard tidak ada tulis mesti ahli UMNO, kalau ahli Pas, Perikatan Nasional (PN)  kena buang ke tepi. Pemilihan guru-guru pun kita  tidak ada tapisan sebegitu.

“Jangan lihat warna parti dan ini pun yang disebut Datuk Seri Zahid Hamidi (Presiden UMNO) bahawa jangan kita pilih kroni,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Program Pembangunan Usahawan Teknikal Solar (Prosolar) di sini hari ini.

Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu menegaskan, MARA akan memfokuskan usaha membangunkan modal insan dan melahirkan usahawan Bumiputera yang berdaya saing.

“Sebab yang penting bagi kita adalah mandat untuk membangunkan modal insan,” jelasnya.

Sebagai rekod, Asyraf baru sahaja sebagai Pengerusi  MARA berkuat kuasa Jumaat lalu. – MalaysiaGazette