Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 09 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa dua akan dibayar kepada penerima golongan B40 dua minggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembayaran kepada penerima akan dibuat pada awal April.

Beliau semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini juga memaklumkan permohonan baru bagi STR telah dibuka.

Beliau menyeru mereka yang tidak berada dalam senarai STR membuat rayuan sebelum 31 Mac agar pembayaran dapat dilakukan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Saya telah memberitahu Kementerian Kewangan dan agensi terlibat meringankan beban golongan itu (bayar) STR fasa 2 pada pertengahan Ramadan atau awal April, insya-Allah dua minggu sebelum raya untuk golongan B40.

“Yang telah menerima STR (Fasa 1) seramai 8.7 juta berjumlah RM8 bilion. Ada permohonan baru yang dibuka setakat 13 Mac dan 320,103 orang telah pun mendaftar.

“Yang layak saya (minta) pohon segera sebelum 31 Mac supaya dapat diberikan dana pada bulan Ramadan, insya-Allah,” kata Anwar.

Beliau menjawab soalan Dr. Mohammed Taufiq Johari (PH- Sungai Petani) mengenai penambahbaikan terhadap STR yang dilakukan dalam Belanjawan 2023.

Sementara itu, Anwar menegaskan, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan diperkenalkan sehingga gaji atau pendapatan rakyat naik berbanding sekarang.

“Saya telah nyatakan dari dulu sejak jadi Ketua Pembangkang dari segi efisien, ketelusan adalah GST tetapi kita belum bersedia sebab dengan tahap pendapatan rakyat masih rendah.

“Jadi saya tidak fikir dalam enam bulan atau satu tahun kita boleh pertimbangkan. Pendapatan rakyat mesti naik dahulu.

“Semua negara yang mengamalkan GST termasuk Singapura, Kanada atau New Zealand dikira pendapatan minima agak munasabah untuk hidup. Sekarang masih ramai 130,000 miskin tegar, B40 ramai jadi tidak boleh dipertimbangkan pada waktu sekarang,” katanya.

Beliau menjawab soalah tambahan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang – PN) bilakah kerajaan akan memperkenalkan GST bagi meningkatkan pendapatan negara.

Anwar berkata, pengenalan beberapa cukai termasuk terhadap barangan mewah membantu meningkatkan kewangan negara.-MalaysiaGazette