KUALA LUMPUR – Kerajaan menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang sekitar 4.5 peratus pada tahun ini selaras dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia iaitu masing-masing pada 4.4 peratus dan 4.0 peratus.
Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim berkata, berdasarkan unjuran itu, negara tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada 2023 meskipun berdepan dengan cabaran ketidaktentuan global.
Menurut beliau, ia berdasarkan takrifan kegawatan atau pun kemelesetan ekonomi secara teknikal adalah apabila sesebuah negara mengalami penguncupan ekonomi suku tahunan sebanyak dua kali berturut-turut.
“Namun kerajaan akan terus mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan yang saksama untuk rakyat serta menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang lebih menarik dengan memudah cara proses pelaburan, mewujudkan lebih banyak syarikat pemula berinovasi tinggi dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dengan pendapatan yang setimpal.
“Bagi menangani kesan kenaikan harga barangan keperluan asas, Kerajaan Perpaduan terus melaksanakan pemberian subsidi dan bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan juga pelbagai insentif dengan peruntukan keseluruhan mencecah RM 64 bilion,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sesi pertanya lisan bagi menjawab soalan Wan Hassan Mohd. Ramli (PN-Dungun) yang kementeian menyatakan langkah-langkah yang telah diambil
bagi menangani masalah kegawatan ekonomi pada 2023 untuk meminimumkan kesan terhadap rakyat Malaysia.
Steven menambah, kerajaan juga melaksanakan program Menu Rahmah dan Jualan Rahmah di bawah agenda Payung Rahmah di samping meneruskan program penetapan harga siling serta penyeragaman harga bagi barangan keperluan asas tertentu.
Jelas beliau, bagi membina semula Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam tempoh pasca pandemik, kerajaan telah menyediakan dana insentif, potongan cukai, pinjaman dan jaminan pembiayaan dengan peruntukan lebih RM40 bilion.
“Melalui pemerkasaan sektor PMKS, secara langsung kita membangunkan ekonomi negara dan secara tidak langsungnya mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan
setimpal untuk rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette