GEORGE TOWN – Akibat menggigit pergelangan tangan kiri adik ipar kerana masuk campur urusan memukul anaknya yang enggan tidur, seorang penganggur denda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret George Town di sini, hari ini.
Majistret Melati Diana Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu selapas Mohd Ashraf Azmi, 32, mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan jika dia gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan bapa kepada tiga cahaya mata itu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mirzuan Alif Mokhtar Ruddin, 26, dengan cara mengigit pergelangan tangan kirinya.
Dia dakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Dungun, Jelutong di sini, jam 4.30 petang pada 10 Mac lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum atas alasan dia sudah insaf dengan perbuatannya itu selain perlu menjaga tiga anaknya berusia antara tiga hingga sembilan susulan isterinya bekerja.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Asharaf Ali memohon hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh.
Tertuduh membayar denda tersebut. – MalaysiaGazette