IPOH- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bercadang untuk mengadakan ‘Hall Of Fame’ melibatkan beberapa tokoh paling terkenal yang berasal dari bandaraya ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, berkata antara nama yang dicadangkan termasuk aktres Tan Sri Michelle Yeoh yang melakar sejarah dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) ke-95 menerusi lakonannya dalam filem ‘Everything Everywhere All at Once’.
“Kita mengucapkan tahniah dan syabas kepada Tan Sri Michelle Yeoh yang mana bagi saya beliau adalah pempengaruh kepada Bandaraya Ipoh itu sendiri kerana bukan sahaja terkenal di rantau ini tetapi boleh membawa nama Ipoh ke peringkat antarabangsa.
“Untuk buat muzium kita ada cadangan, sekarang kita sedang lihat beberapa tokoh…kemungkinan kita hendak buat ‘Hall Of Fame’,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan prapelancaran Green Green Restoran dan Kafe di Bandar Meru Raya, di sini hari ini.
Beliau berkata kejayaan seniwati kelahiran Ipoh itu juga diharapkan dapat menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke bandaraya ini.
Yeoh, 60, menewaskan empat pencabar lain bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik iaitu Cate Blanchett (Tar), Ana de Armas (Blonde), Andrea Riseborough (To Leslie) dan Michelle Williams (The Fabelmans) pada majlis yanga berlangsung di di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat, pagi ini.
Pada Januari lalu, Yeoh meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi pada Anugerah Golden Globe ke-80, Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Screen Actors Guild (SAG) ke-29 pada awal Februari dan Lakonan Terbaik pada Anugerah Spirits, baru-baru ini.
— BERNAMA