NEW YORK- Meta Platforms Inc. menggalakkan para pekerjanya kembali ke pejabat.
Syarikat induk Facebook itu antara firma yang lantang memperjuangkan sistem kerja jarak jauh semasa pandemik.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Zuckerberg, terdapat beberapa analisis awal menunjukkan jurutera-jurutera yang menyertai Meta dan bekerja di pejabat sebelum dipindahkan untuk bekerja dari luar mempunyai prestasi yang lebih baik.
“Begitu juga dengan dengan jurutera-jurutera yang kekal bekerja di pejabat. Secara puratanya mereka mempunyai prestasi lebih baik berbanding pekerja yang menyertai kami secara jarak jauh,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Zuckerberg berkata, walaupun data berkenaan masih perlu kajian lanjut namun beliau menggalakkan pekerja-pekerja syarikat itu untuk mencari lebih banyak peluang bekerja secara hadir ke pejabat.
Pada 2021, Facebook mengeluarkan dasar yang membenarkan kesemua pekerja bekerja jarak jauh jika tugas mereka boleh dilaksanakan di luar pejabat walaupun selepas pandemik berakhir.
Selain Meta, beberapa syarikat besar lain termasuk Amazon, Apple dan Twitter juga cuba menggalakkan para pekerja mereka kembali ke pejabat.- Agensi