KUALA LUMPUR – Kerjasama erat sektor swasta termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) dengan institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mampu membantu melahirkan graduan mahir memenuhi keperluan industri seterusnya dibayar secara setimpal.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia adalah tindakan serampang dua mata untuk kerajaan memanfaatkan sumber dan kemudahan yang ada tanpa pihak swasta dan GLC perlu mewujudkan pusat latihan sendiri.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pihaknya menyasarkan dapat menjalinkan kerjasama institusi TVET dengan 100 syarikat swasta dan GLC dalam masa terdekat ini.
“Kerjasama ini merupakan permulaan untuk menjalinkan kolaborasi dengan pemain industri pada masa akan datang bagi melahirkan lebih ramai pekerja mahir.
“Graduan TVET ini adalah pekerja mahir dan bukan 3D (kotor, bahaya dan sukar), yang mana mereka dalam jangka masa panjang akan mengurangkan kos untu meningkatkan produktiviti untuk menghasilkan perkhidmatan atau produk akhir kepada syarikat.
“Mereka adalah pekerja terlatih yang memenuhi kehendak pasaran dan gaji minimum itu saya pulangkan kepada pihak industri kerana mereka akan mengeluar barang yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama Transformasi Program TVET Antara GLC Dan Syarikat Swasta Bersama Kerajaan di Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid turut menyarankan majikan atau pemain industri disaran memberi gaji minimum RM3,000 sebulan untuk graduan TVET.
Sementara itu, pada majlis itu, sebanyak 10 memorandum kerjasama telah dimeterai antara kerajaan melibatkan pihak industri seperti Petronas, Gamuda Berhad, Sunway Services, DRB Hicom, Berjaya Corporation, Redbeat Academy Sdn Bhd (Airasia Academy), Daikin Malaysia Sdn Bhd, Bermaz Auto Berhad, Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) dan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB).
Menerusi memorandum ini, rakan strategik industri akan terlibat secara langsung dalam pelaksanaan pogram TVET negara melalui pembangunan kurikulum dan bahan latihan, sumbangan dan perkongsian kemudahan serta peralatan, sumbangan khidmat kepakaran, pembangunan kompetensi tenaga pengajar serta pembiayaan program latihan.
Penglibatan dan kerjasama ini akan mencakupi pelbagai bidang utama dalam program TVET seperti minyak dan gas, automotif, elektrik, hospitaliti, pembinaan, aeroangkasa, industri 4.0, kejuruteraan pembangunan perisian, dan sistem binaan berindustri (IBS).
Sementara itu, Sivakumar berkata, pemeteraian 10 Memorandum Kerjasama itu adalah langkah permulaan yang diambil oleh kementeriannya dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan untuk memuktamadkan 50 Memorandum Kerjasama pada tahun 2023 sebagaimana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2023.
Kata beliau, memorandum yang dimeterai itu akan menjadi platform kerjasama meliputi semua Institusi Latihan Kemahiran Awam di bawah 12 buah kementerian dengan pihak GLC dan syarikat swasta berdasarkan kesesuaian bidang dan skop yang dipersetujui secara bersama. – MalaysiaGazette