Najwan
Najwan Halimi

SHAH ALAM – Pas dan Parti Bersatu yang bergabung dalam Perikatan Nasional (PN) perlu tunggu Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya mahu membentuk kerajaan Persekutuan.

Peringatan itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi  (PH-PKR) selepas mendapati ada usaha daripada PN untuk menebuk atap Kerajaan Perpaduan.

Tegasnya, PN adalah kelompok yang gila kuasa sehingga sanggup berbuat apa sahaja demi jawatan dan kedudukan.

“Nasib rakyat, masalah ekonomi dan kestabilan negara tidak pernah menjadi keutamaan mereka. Kalau nak jadi kerajaan, tunggu PRU akan datang,” katanya dalam sesi perbahasan menjunjung kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Menurut Mohd Najwan, beliau tidak pelik dengan usaha itu kerana sejarah Melayu, Tamadun China dan India menunjukkan berlaku pengkhianatan dalam kerajaan.

Biasanya, kata beliau sejarah juga merakamkan, mereka yang khianat pastinya akan dihukum.

“Malah, dalam PRU15 baru-baru ini, kita telah menyaksikan pengkhianat ini telah dihukum oleh rakyat Gombak sendiri.

“Kita tahu, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang ini, rakyat Selangor kenal siapa pemimpin yang benar-benar membawa mandat rakyat dan siapa pemimpin mereka yang khianat,” katanya.

Beliau mahu kerajaan Selangor dan Kerajaan Perpaduan khususnya mempertahankan keharmonian serta perpaduan antara rakyat.

Mohd Najwan turut mengimbau sejarah pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca PRU15 yang lalu, menyaksikan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam meleraikan kebuntuan politik.

“Memandangkan tiada mana-mana gabungan parti politik mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan, maka baginda mencadangkan Pakatan Harapan (PH) dan PN membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Namun, kita dikejutkan dengan sikap dan pendirian biadab PN menolak secara terbuka cadangan Yang di-Pertuan Agong.

“Dengan meletakkan keutamaan negara dan rakyat mengatasi kepentingan politik, PH akhirnya menyaksikan pembentukan sebuah Kerajaan Perpaduan yang menggabungkan PH dengan Barisan Nasional (BN) serta beberapa parti lain,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, walaupun Kerajaan Perpaduan sudah berusia lebih tiga bulan, masih lagi mendengar segelintir parti politik bertopengkan Islam yang merancang untuk memecahbelahkan perpaduan, sekali gus mahu meruntuhkan kerajaan yang dibentuk secara sah di sisi Perlembagaan.

“Tindakan jelik ini menzahirkan sikap sebenar pimpinan PN, yang pada ketika kempen PRU15 berkempen atas modal fitnah dan sentimen perkauman sempit.

“Inilah wajah sebenar mereka, tidak segan silu untuk memutar belit ajaran Islam demi kepentingan politik mereka. Bahkan, mereka berani menyanggah titah Raja-Raja Melayu,” ujarnya. – MalaysiaGazette