KUALA LUMPUR –  Sektor Perkhidmatan mencatatkan nilai output kasar sebanyak RM1,174.5 bilion pada tahun 2021 berbanding RM1,155.8 bilion pada tahun 2020, dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 1.6 peratus.

Selaras dengan kenaikan nilai output kasar, nilai input perantaraan turut meningkat sebanyak RM7.5 billion yang mencatatkan RM516.3 bilion, bertumbuh 1.5 peratus tahun ke tahun dan menghasilkan nilai ditambah sebanyak RM658.3 bilion pada tahun 2021, menurut Jabatan Perangkaan.

Bilangan pekerja dalam sektor ini merekodkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 5,517,330 orang berbanding 5,513,840 orang pada tahun 2020.

Sementara itu, gaji & upah yang dibayar pada tahun 2021 adalah sebanyak RM180.4 bilion, meningkat 0.6 peratus berbanding tahun 2020.

Nilai harta pula mencecah RM1,134.5 bilion (2.4%).

Dalam sektor perkhidmatan, Kuala Lumpur adalah penyumbang utama nilai output kasar bagi tahun 2021 dengan mencatatkan RM465.9 bilion, mewakili 39.7 peratus diikuti oleh
Selangor dan Johor dengan nilai output kasar masing-masing sebanyak RM345.6 bilion (29.4%) dan RM73.3 bilion (6.2%).

Nilai output kasar bagi ketiga-tiga negeri ini adalah RM884.8 bilion (75.3%).

Nilai ditambah mengikut negeri pada tahun 2021 menunjukkan tiga negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan Johor merupakan penyumbang utama bagi sektor Perkhidmatan.

Kuala Lumpur mencatatkan nilai ditambah tertinggi iaitu RM269.2 bilion dengan sumbangan 40.9 peratus, diikuti oleh Selangor yang merekodkan RM189.5 bilion (28.8%) dan Johor
sebanyak RM39.6 bilion (6.0%). Sumbangan nilai ditambah bagi ketiga-tiga negeri ini kepada sektor Perkhidmatan adalah RM498.3 bilion (75.7%).

Negeri Selangor menunjukkan bilangan pekerja tertinggi dalam sektor perkhidmatan iaitu 1,496,807 orang (27.1%) diikuti oleh W.P. Kuala Lumpur dan Johor dengan masing-masing
mencatatkan sejumlah 1,294,094 orang (23.5%) dan 514,750 orang (9.3%).

Jumlah bilangan pekerja bagi ketiga-tiga negeri ini kepada sektor Perkhidmatan adalah 3,305,651 orang (59.9%).

Manakala bagi gaji & upah yang dibayar, Kuala Lumpur membayar nilai tertinggi iaitu RM59.3 bilion (32.8%). Negeri kedua tertinggi adalah Selangor dengan RM58.2 bilion (32.3%)
diikuti oleh Johor dengan RM13.9 bilion (7.7%).

Jumlah gaji & upah bagi ketiga-tiga negeri ini kepada sektor Perkhidmatan adalah RM131.4 bilion (72.8%). – MalaysiaGazette