Dr Khir Toyo

 

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar, Dr Mohd Khir Toyo diberi amaran keras oleh Lembaga Disiplin UMNO selepas didapati bersalah kerana melempar tohmahan, mengeji dan menghina Datuk Seri Jamal Md Yunos secara terbuka pada awal Mac ini.

Pengerusinya, Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata, perbuatan itu dilakukan Khir menerusi kenyataan akhbarnya yang disiarkan oleh tiga media massa, antara 1, 5 dan 8 Mac lalu.

Hukuman amaran itu diberikan kerana Dr Khir memburuk-burukkan calon lain dalam tempoh pemilihan parti itu yang telah diputuskan Lembaga Disiplin pada 15 Mac lalu.

“Dr Khir didapati bersalah kerana melanggar Perlembagaan UMNO dan Tatetika Ahli UMNO,” katanya menerusi sepucuk surat Lembaga Disiplin UMNO kepada Dr Khir yang dialamatkan ke kediamannya di Sungai Besar, bertarikh 16 Mac lalu.

Dr Khir pada 8 Mac didakwa melemparkan tohmahan, mengeji dan menghina Jamal yang menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dalam pemilihan parti pada 18 Mac ini.

“Dr. dalam kenyataan akhbar tersebut telah berkata ‘Jamal dah kalah hampir 7,000 undi, takkan nak beri peluang kepada dia lagi untuk memimpin UMNO Bahagian?

“Orang Sungai Besar rata-ratanya menolak cara yang seperti gengsterism ini.

“Malah ramai Ketua Cawangan berjumpa dengan saya yang inginkan perubahan dalam kepimpinan UMNO Bahagian Sungai Besar,” kata Dr Khir yang dipetik dalam satu laporan media terbabit.

Pada 5 Mac lalu, Dr Khir telah membuat kenyataan secara terbuka mengeji dan menghina Jamal dalam kenyataan yang bertajuk ‘Amalan gangsterisme rugikan UMNO’.

Lembaga Disiplin UMNO mendapati Dr Khir dengan niat mahu mempengaruhi perwakilan UMNO Bahagian Sungai Besar bagi mendapat undi dan sokongan dalam pemilihan parti kali ini.

Manakala pertuduhan ketiga pula, Dr Khir pada 1 Mac telah membuat kenyataan secara terbuka di saluran media sosial milik portal media bertajuk ‘Khir Toyo Buat Kemunculan Semula, Mahu Bantu Anak Muda Sungai Besar’ dengan niat mahu mempengaruhi perwakilan UMNO Bahagian Sungai Besar bagi mendapat undi dan sokongan.

Kesemua tiga pertuduhan yang dihadapi Dr Khir itu adalah perbuatan tidak menjaga nama baik dan maruah parti, sekali gus Perkara 5.3 Tataetika Ahli UMNO yang boleh dihukum di bawah Fasal 20.10 Perlembagaan UMNO.

“Sekiranya YBhg Dr. tidak berpuas hati dengan hukuman Lembaga Disiplin seperti di atas, selaras dengan Fasal 20.6 Perlembagaan UMNO bolehlah merayu kepada Majlis Kerja Tertinggi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette