Seorang mekanik memberi alasan mahu bermain permainan bola ketika dicekup berkhalwat bersama kekasihnya di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah, Melaka Jumaat lalu.

MELAKA – Seorang mekanik memberi alasan mahu bermain permainan bola ketika dicekup berkhalwat bersama kekasihnya di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah di sini Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pasangan berusia 23 itu dicekup kira-kira pukul 2.30 pagi dalam satu operasi cegah jenayah syariah.

“Ketika diperiksa, mereka gagal mengemukan bukti dokumen hubungan mahram atau suami isteri sebaliknya hanya mengaku mempunyai hubungan saudara jauh.

“Malah, lelaki itu turut memberi alasan mahu ajak kekasihnya itu yang bekerja kilang bermain ‘game’ bola di bilik hotel terbabit,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Menurutnya, pasangan itu adalah antara tiga pasangan berusia 19 hingga 23 tahun yang ditahan operasi berkenaan bermula pukul 11 malam hingga 4 pagi.

Tambahnya, kesemua mereka yang masih bujang kemudian ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana berkurung mendatangkan syak.

Jika disabitkan kesalahan, orang yang disyaki (OYDS) lelaki boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM3,000 atau di penjara selama maksimum 24 bulan atau kedua-duanya sekali manakala OYDS wanita denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tempoh sama atau kedua-duanya sekali.

Mengulas lanjut Che Sukri berkata, kejayaan itu juga adalah hasil kerjasama daripada orang awam dan ahli RASEIM yang menyalurkan maklumat dan membantu pihak JAIM dalam mengekang aktiviti tidak bermoral dan maksiat.

“JAIM mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) melalui link https://t.me/RASEIM bagi membantu pencegahan, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang Syariah di Negeri Melaka secara dalam talian,”jelasnya. – MalaysiaGazette.