KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), berjaya memperoleh RM24 bilion potensi pelaburan dan RM4.24 bilion eksport produk dan perkhidmatan menerusi Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Korea, baru-baru ini.
Misi yang diketuai oleh Menteri MITI, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dari 14 – 17 Mac 2023 untuk menarik pelaburan berkualiti dan meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global yang bernilai lebih tinggi.
Menurut beliau, syarikat-syarikat Korea menunjukkan minat untuk mengembangkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala dengan Malaysia, khususnya dalam sektor mampan dan teknologi hijau, seperti penyimpanan karbon, tenaga hidrogen dan kenderaan elektrik.
Menurutnya, daya saing ekonomi Malaysia pada masa hadapan akan bergantung kepada sama ada kita boleh mendapatkan akses kepada dan menguasai teknologi hijau.
Oleh itu, katanya, adalah penting bagi Malaysia untuk bekerjasama dengan pelabur yang boleh membantu memacu pertumbuhan dalam bidang yang menyokong agenda mampan negara.
Semasa misi itu, Tengku Zafrul turut mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya, Dukgeun Ahn, Menteri Perdagangan, Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga untuk membincangkan, antara lain, cadangan penyambungan semula rundingan perjanjian perdagangan bebas dua hala antara kedua-dua negara; pembentukan Dialog Kerjasama Perdagangan Menteri; serta potensi kerjasama dalam ekonomi digital, ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui, rantaian bekalan dan kerjasama ekonomi di bawah platform Rangka Kerja Ekonomi Indo Pasifik (IPEF) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Seminar perniagaan turut diadakan di Seoul, yang menarik lebih 250 ketua industri dari Malaysia dan Korea Selatan.
Selain seminar itu, lebih 150 mesyuarat perniagaan individu turut diatur antara syarikat Korea dan delegasi perniagaan Malaysia.
Acara Meja Bulat Pelabur Modal Teroka yang dipengerusikan oleh Tengku Zafrul dan disertai oleh lebih daripada 20 pelabur Korea, yang menunjukkan minat untuk menempatkan perniagaan robotik dan berasaskan kecerdasan buatan (AI) mereka di Malaysia.
Tengku Zafrul turut menyaksikan pertukaran empat memorandum persefahaman (MOU) yang menyaksikan beberapa pelabur modal teroka Korea yang menunjukkan komitmen mereka untuk melabur sehingga AS$400 juta di Malaysia.
Pada 2022, Korea Selatan adaalah rakan dagangan kelapan terbesar bagi Malaysia dengan jumlah perdagangan berjumlah RM114.21 bilion (AS$25.94 bilion), peningkatan sebanyak
29.3% berbanding RM88.31 bilion (AS$21.01 bilion) pada 2021.
Dari segi pelaburan, Korea menjadi salah satu sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia untuk sektor pembuatan.
Sehingga Jun 2022, sebanyak 374 projek bernilai AS$9.2 bilion (RM32.9 bilion) telah dilaksanakan dan menjana 46,260 pekerjaan. – MalaysiaGazette