Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan tanggungjawab yang harus dipukul adalah lebih besar berbanding kemenangan yang dicapai pada hari ini.

“Kejayaan ini merupakan satu tanggungjawab yang cukup besar untuk saya membantu Presiden, Timbalan Presiden serta seluruh kepimpinan UMNO terutamanya dalam keadaan parti yang cukup getir ketika ini,” katanya.

Naib Presiden UMNO yang baharu dipilih itu bertekad untuk memperkukukan parti supaya saf perjuangan dapat dirapatkan semula.

“Ayuh perkukuhkan kembali persaudaraan serta berikan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada parti agar UMNO mampu bangkit menjadi sebuah parti yang kuat.

“Berbekalkan pengalaman saya dalam mentadbir kerajaan dan juga  parti, insya-Allah, saya akan gunakannya untuk membantu bagi membina semula kekuatan UMNO agar parti keramat ini kembali bangkit dan kekal relevan untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada UMNO terutamanya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 nanti,” katanya menerusi kenyataan hari ini

Sehubungan itu, Wan Rosdy berharap agar seluruh ahli UMNO terus istiqamah, menggembleng tenaga dan bekerjasama bagi memastikan perjuangan parti dapat diteruskan demi agama, bangsa dan tanah air.

Dalam kenyataannya, beliau yang juga Menteri Besar Pahang menzahir terima kasih kepada semua perwakilan yang telah memberi sokongan, kepercayaan serta memberinya satu daripada tiga kerusi jawatan tersebut.

“Sudah pastinya kejayaan ini tidak dapat dicapai tanpa bantuan semua pihak terutamanya jentera kempen saya yang berhempas pulas sepanjang tempoh dua minggu ini.

“Tanpa bantuan ini tidak mungkin saya berupaya untuk mencapai kemenangan yang penuh bermakna,” ujarnya.- MalaysiaGazette