Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof meluangkan masa melawat ruang pameran selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Kesihatan Mulut Sedunia 2023 dan Pelancaran Dasar Kesihatan di Sasana Kijang Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Syor pelepasan cukai oleh pegawai pergigian akan dikemukakan  kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu bertujuan untuk membantu dan menggalakkan pembukaan klinik gigi khususnya di kawasan luar bandar.

Katanya, jika cadangan itu diterima, ia mampu mengurangkan kos pembelian peralatan berkait rawatan pergigian yang mahal harganya.

“Timbalan Menteri Kesihatan (Lukanisman Awang Sauni) dalam ucapan tadi menyuarakan  perlu salah satunya tingkatkan perkhidmatan dalam bidang pergigian, khususnya di pinggir, luar bandar di kawasan kurangnya fasiliti sama ada di peringkat kerajaan mahupun peringkat swasta.

“Jaringan hubungan antara kesihatan awam di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), persatuan dan klinik swasta dapat tingkatkan pembukaan perkhidmatan pergigian walaupun kita ada klinik bergerak (mobile clinic) dan sebagainya.

“Tetapi ia tidak mencukupi. Sebab itu satu daripada permintaan mereka (doktor pergigian) adalah pelepasan cukia. Apabila mereka membuka (klinik pergigian), ianya lebih membantu mereka dari segi kos dan sebagainya.

“Insya-Allah saya akan membawa perkara ini ke pengetahuan Menteri Kewangan dan bagaimana kita boleh menyokong supaya klinik kesihatan ini khususnya pergigian. Sebab (untuk membuka klinik gigi) ia memerlukan peralatan yang agak mahal dan kalau duti import dapat dikurangkan, sudah pasti ini dapat membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Kesihatan Mulut Sedunia 2023 dan Pelancaran Dasar Kesihatan Pergigian Kebangsaan di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni dan Presiden Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA), Dr Lim Chiew Wooi.

Fadillah turut berterima kasih kepada pegawai pergigian khususnya di peringkat akar umbi yang membantu negara dengan menjadikan kesihatan pergigian sebagai agenda utama.

“Saya harap Perdana Menteri dapat tambah fasiliti pergigian di kawasan bandar dan luar bandar juga. Justeru, sokongan pada daripada Timbalan Perdana Menteri diperlukan dan boleh dilobi kepada Perdana Menteri dan rakan dalam Kabinet,” ujarnya.

Dalam pada itu Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi
mengharapkan agar agenda penjagaan kesihatan pergigian akan diterima baik oleh semua ahli Parlimen untuk diketengahkan ke kawasan masing-masing.

Ini kerana katanya, kesihatan mulut merupakan perkara penting yang boleh mencorakkan kehidupan seseorang.

“Saya mengharapkan setiap ahli Parlimen boleh membawa perkara ini diperingkat Parlimen masing-masing.

“…sebab kesihatan mulut ini apa yang kita makan akan mencorakkan kehidupan kita sama ada kita sihat bergantung kepada bagaimana kita menjaga diri kita dari sudut kesihatan terutamanya bermula dengan mulut.

“Apa yang kita makan, apa yang kita minum ia menentukan apa yang masuk ke dalam badan kita menentukan kita ini sihat ataupun tidak,” ujarnya.

Sementara itu, Lukanisman ketika berucap pada berkenaan berkata, inisiatif seperti kempen kebersihan gigi akan dimulakan dalam kalangan 222 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette