KUALA LUMPUR – Perdagangan Malaysia mencatatkan trajektori menaik pada Februari 2023, dengan pertumbuhan dua angka 11.0 peratus kepada RM205.0 bilion berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya disokong oleh peningkatan eksport dan import masing-masing 9.8 peratus dan 12.4 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan eksport didorong oleh kedua-dua eksport domestik dan eksport semula.

Eksport domestik kembali mencatatkan peningkatan 3.8 peratus kepada RM87.5 bilion pada Februari 2023 manakala eksport semula yang bernilai RM24.8 bilion dan menyumbang 22.1 peratus kepada jumlah eksport, meningkat 37.6 peratus berbanding Februari 2022.

Import meningkat 12.4 peratus daripada RM82.5 bilion kepada RM92.7 bilion.

Mengambil kira pertumbuhan import yang lebih pantas berbanding eksport, lebihan dagangan pada Februari 2023 menyusut 1.3 peratus kepada RM19.6 bilion, tahun ke
tahun, lebihan dagangan bulan ke-34 berturut-turut sejak Mei 2020.

Berbanding Januari 2023, prestasi jumlah dagangan, eksport dan import menunjukkan penurunan masing-masing 1.1 peratus, 0.3 peratus dan 1.9 peratus.

Sebaliknya, lebihan dagangan mencatatkan peningkatan 7.9 peratus.

Selaras dengan pertumbuhan tahunan, 151 daripada 257 kumpulan barangan untuk eksport menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, dipacu oleh keluaran petroleum bertapis. Bagi import, 114 daripada 258 kumpulan merekodkan pertumbuhan positif.

Mohd Uzir berkata, peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura (+RM4.0 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.9 bilion), Hong Kong (+RM1.4 bilion),
Korea (+RM1.0 bilion), Australia (+RM553.0 juta) dan Jepun (+RM551.2 juta).

Sementara itu, import dipacu oleh peningkatan import dari Arab Saudi (+RM2.8 bilion), China (+RM2.6 bilion), Taiwan (+RM1.8 bilion), Australia (+RM1.2 bilion), Singapura
(+RM970.1 juta) dan Kesatuan Eropah (+RM875.3 juta).

Mengulas lebih lanjut mengenai eksport, peningkatan juga didorong oleh keluaran petroleum (+RM4.9 bilion); barangan elektrik & elektronik (+RM4.6 bilion); gas asli
cecair (+RM1.3 bilion) dan petroleum mentah (+RM781.6 juta).

Sementara itu, kenaikan import dicatatkan bagi petroleum mentah (+RM4.7 bilion); keluaran petroleum (+RM4.5 bilion); barangan elektrik & elektronik (+RM1.2 bilion); arang batu, arang kok
& briket (+RM629.8 juta); kelengkapan pengangkutan (+RM621.1 juta); dan barangan perkilangan logam (+RM596.3 juta).

“Dari sudut kategori utama import mengikut Penggunaan Akhir, barangan perantaraan dan barangan penggunaan meningkat pada Februari 2023, sebaliknya barangan modal menurun.

“Import barangan perantaraan, bernilai RM49.0 bilion atau 52.8 peratus daripada jumlah import, meningkat 3.3 peratus atau RM1.6 bilion, berikutan import yang lebih tinggi bahan api & pelincir, utama.

“Barangan penggunaan (7.6% daripada jumlah import) meningkat 1.2 peratus (+RM81.2 juta) kepada RM7.1 bilion, dipacu oleh makanan & minuman, utama, khusus untuk penggunaan isi rumah. Import barangan modal, berjumlah RM7.9 bilion (8.5% daripada jumlah import), merosot 0.3 peratus, terutamanya disebabkan oleh import yang lebih rendah barangan modal (kecuali alat kelengkapan pengangkutan),” katanya.

Bagi tempoh dua bulan pertama 2023, jumlah dagangan, eksport dan import mencatatkan peningkatan. Jumlah dagangan melonjak 6.1 peratus kepada RM412.2 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Eksport meningkat 5.4 peratus kepada RM224.9 bilion dan import meningkat 7.0 peratus kepada RM187.2 bilion.

Sementara itu, lebihan dagangan berkurangan 1.8 peratus kepada RM37.7 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast