GENEVA – Kira-kira 43,000 orang mungkin terkorban di Somalia tahun lalu ekoran kemarau yang panjang, menurut laporan baharu kerajaan Somalia dan Pertubuhan Bangsa-Bamgsa Bersatu.

Ia adalah angka kematian rasmi pertama akibat kemarau di Afrika.

Separuh daripada kematian dipercayai membabitkan kanak-kanak bawah lima tahun, lapor BBC.

Krisis itu “jauh dari berakhir”, dengan 18,000-34,000 lagi kematian dijangka dalam enam bulan pertama tahun ini.

Pada tahun 2011, kebuluran di Somalia membunuh lebih suku juta orang.

“Kami berlumba dengan masa untuk mencegah kematian dan menyelamatkan nyawa yang boleh dielakkan,” kata wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Mamunur Rahman Malik.

PBB berkata, ia memerlukan AS$$2.6 bilion untuk pelan tindak balas kemarau Somalia tahun ini.

Setakat ini, di bawah 15% daripada jumlah itu telah dibiayai.

Berjuta-juta haiwan ternakan telah mati dalam krisis cuaca yang telah diburukkan oleh perubahan iklim, ketidakstabilan politik dan kenaikan harga makanan global.- Agensi