Anthony Loke Siew Fook. foto HAZROL ZAINAL, 09 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan di negara ini tidak dihalang untuk melaksanakan pematuhan syariah dalam pengoperasian harian.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan tidak mempunyai sebarang masalah untuk mana-mana syarikat menerapkan nilai Islam terhadap kakitangan dan juga pengoperasian penerbangan.

“Dari segi pengukuhan syariah dan sebagainya, ia terpulang kepada mana-mana syarikat. Kementerian tidak ada masalah dan halangan kepada mana-mana syarikat penerbangan hendak mengadakan pelaksanaan pematuhan syariah,” kata Anthony dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini

Beliau menjawab soalan tambahan Jamaluddin Yahya (Pasir Salak- PN) yang ingin mengetahui usaha kerajaan dalam menetapkan prosedur operasi syarikat penerbangan untuk mematuhi syariah.

Dalam soalan asal, Anthony meminta tidak ada mana-mana pihak mempolitikan Projek Kedah Aerotripolis.

Beliau dengan tegas berkata, sehingga kini, kerajaan Kedah belum mengemukan permohonan rasmi untuk melaksanakan projek berkaitan kepada kementerian.

“Belum ada permohonan rasmi dari segi aerodrome itu secara konsisten, saya harap jangan dimainkan, dipolitikkan oleh Menteri Besar Kedah.

“Bawa operator. Siapa operator yang dilantik? Kita dapatkan lesen aerodrome itu dan seterusnya perlu ada kelulusan. Perlu dikenalpasti siapa operator dia,” kata Anthony.

Beliau menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai-PN) yang meminta kementerian menyatakan peranan yang diambil bagi memastikan Projek Kedah Aerotopolis diteruskan.

Di bawah Seksyen 5 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3) dan Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (Pengendalian Aerodrom) 2016 kuasa untuk membenarkan penubuhan sesebuah aerodrome adalah dipertanggungjawabkan di bawah kuasa Menteri Pengangkutan.

Pihak yang ingin menubuhkan dan membina sesebuah aerodrome perlu memohon kebenaran daripada Kementerian Pengangkutan dengan disokong oleh dokumendokumen dan maklumat-maklumat yang komprehensif.- MalaysiaGazette