klinik kesihatan
Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Kaji selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2019 menunjukkan satu daripada tiga orang dewasa di negara ini mempunyai tahap celik kesihatan yang rendah.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, berdasarkan kajian itu, sebanyak 8.7 peratus golongan dewasa melaporkan menghidapi masalah pergigian sejak dua minggu lalu.

Menurut beliau, dapatan kajian sama juga menunjukkan, sebanyak 29.9 peratus daripada orang dewasa ini merasakan perlu mendapatkan rawatan daripada pengamal pergigian.

Namun, ironinya 18.9 peratus orang dewasa berkenaan tidak mengambil apa-apa tindakan termasuk mendapatkan rawatan daripada pakar.

“Sebanyak 17 peratus mendapatkan nasihat daripada seseorang yang bukan pengamal pergigian, manakala 10.1 peratus mengambil ubat tanpa nasihat daripada pengamal pergigian atau pengamal farmasi.

“Justeru, usaha harus dipertingkatkan agar lebih ramai masyarakat kita mempunyai pengetahuan dan kemahiran agar boleh mencari, memahami dan menggunakan maklumat penjagaan kesihatan pergigian.

“Ia bagi mencegah daripada mendapat keadaan atau penyakit pergigian setiap hari untuk membuat keputusan seperti membuat pemeriksaan mulut kendiri di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pelancaran Dasar Kesihatan Pergigian Kebangsaan sempena sambutan Hari Kesihatan Mulut Sedunia 2023 yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalannya, Lukanisman Awang Sauni.

Menyentuh mengenai Dasar Kesihatan Pergigian Kebangsaan yang dilancarkan itu, Dr Zaliha berkata, ia merupakan julung kali diadakan bertujuan meletak landasan dan menyatukan semua pihak berkepentingan.

Ia termasuk menyelaraskan strategi bagi penyampaian perkhidmatan kesihatan pergigian yang lebih baik termasuk memperkasa dan seterusnya meningkatkan kesihatan serta kualiti hidup rakyat Malaysia.

Dalam dasar itu, katanya, terdapat enam bidang keutamaan yang memerlukan kerjasama erat dengan semua pihak berkepentingan.

“Ia meliputi sistem penjagaan kesihatan pergigian, kolaborasi dan kerjasama, pemerkasaan masyarakat , piawaian dan pemantauan, penyelidikan dan pembangunan serta transformasi digital dan inovasi.

“Dasar ini dibangunkan dengan merujuk kepada tiga prinsip utama iaitu mempromosikan liputan perlindungan kesihatan sejagat, mengintegrasikan kesihatan pergigian dengan kesihatan umum dan mempertingkatkan keselamatan dan kualiti kesihatan pergigian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast