SYED SALEH SYED ABDUL RAHMAN TH tabung haji hajj extreme hot weather
Syed Saleh Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Walaupun kos ibadah haji semakin meningkat sehingga RM30,850 bagi seorang individu, Tabung Haji (TH) memberikan jaminan akan meneruskan bantuan kewangan  bersasar.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, pengendali ibadah haji  telah menyediakan lebih RM400 juta bagi menampung sebahagian daripada kos jemaah haji kumpulan B40 dan M40 yang kali pertama menunaikan ibadat itu.

“Bagi kumpulan B40, bayaran haji selepas ditolak bantuan kewangan haji sebanyak 61 peratus ialah RM10,980. Untuk M40 pula, bantuan kewangan yang diberikan 48 peratus. Jadi, mereka hanya perlu bayar RM15,980.

“Bagi kumpulan T20, perlu membayar keseluruhan kos, iaitu RM30,850,” katanya dalam sidang media pengumuman kos, bayaran dan bantuan kewangan haji 2023 hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Sri Amrin Awaluddin dan Pengurus Besar Pengurusan Haji, Nurrin Anuwar Shamsuddin.

Untuk rekod, bayaran haji jemaah muassasah kumpulan B40 kekal seperti kadar sebelumnya iaitu RM10,980 bagi seorang individu.

Kadar bayaran itu setelah kerajaan bersetuju untuk menampung kenaikan kadar bayaran sebanyak RM1,000 bagi kategori itu untuk musim haji tahun ini.

Kadar kos ibadah haji tahun ini naik kepada RM30,850 berbanding RM28,632 pada tahun lalu.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Nai’im Mokhtar, peningkatan tersebut adalah disebabkan beberapa faktor termasuklah kadar tukaran mata wang Ringgit Malaysia berbanding Saudi Riyal dan Dollar Amerika. – MalaysiaGazette