Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA),Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media mengenai isu Allahyarham Asisten Superintenden Zulkifli Mamat yang terkorban dalam serangan Sulu Lahad Datu di Ibu Pejabat MARA, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 21 MAC 2023

KUALA LUMPUR – Balu Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat yang terkorban dalam serangandi Kampung Tanduo, Lahad Datu menghargai tawaran Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi kemasukan tiga anaknya ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Nooraziah Noor, 38, berharap tiga orang anaknya mengambil peluang berkenaan untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat kejayaan cemerlang.

Guru sains Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Lailatul Shahreen di Kangar, Perlis itu berharap dengan tawaran yang diberikan anak-anaknya menghargai pengorbanan arwah bapa mereka.

“Terima kasih kepada MARA atas pemberian ini. Saya hargai dan saya harap dengan tawaran yang diberikan anak saya ambil peluang pastikan mereka betul-betul berjaya mencapai kejayaan hingga ke menara gading

“Saya harap dengan peluang yang diberikan ini anak-anak saya hargai dan mengenang pengorbanan arwah ayahnya mereka dapat peluang ini.

“Mereka kenang jasa ayah dan tahu bahawa pengorbanan ayah tidak sia-sia banyak pihak yang membantu,” kata Nooraziah kepada media.

Beliau sebelum itu bertemu dengan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di ibu pejabat MARA..

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Razlan Samsuri dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran MARA, Mohd Amran Mohd Ariffin.

Dalam perjumpaan itu, Asyraf Wajdi  menawarkan kemasukan tiga anak Zulkifli ke MRSM sebagai menghargai pengorbanan allahyarham sebagai wira negara.

Ketiga-tiga mereka iaitu Norakmal Amiruddin, 15, Noor Muhamad Aqil, 11, dan Noor Aqib Syahid, 10, perlu membuat permohonan secara rasmi dan perlu menduduki Ujian kecenderungan kemasukan MRSM, UKKM.

Sementara itu, Norakmal Amiruddin berhasrat untuk memasuki MRSM bagi meneruskan pelajaran di tingkatan empat tahun depan.

Menurutnya, dia kini sedang berusaha untuk mencapai hasrat itu seterusnya mengapai cita-cita untuk menjadi seorang anggota polis seperti arwah bapanya yang terkorban dalam tragedi berdarah itu.

“Sepupu saya ramai belajar di MRSM dan itu juga membuatkan saya semangat untuk belajar di sana. Saya berharap dapat mencapai keputusan yang baik sekali gus layak menempatkan diri ke MRSM.

“Saya mahu meneruskan legasi kerjaya arwah ayah sebagai anggota polis dan tidak akan sia-siakan sokongan yang diberikan MARA,” katanya.

Zulkifli antara sembilan wira negara terkorban ketika mempertahankan kedaulatan negara selepas diserang oleh pengganas di Lahat Datu, Sabah pada 2013.

Semalam, media melaporkan, Nooraziah menagih sokongan pendidikan yang dijanjikan untuk tiga anaknya.

Nooraziah mendakwa sebelum ini, ada pihak, termasuk agensi kerajaan seperti MARA menjanjikan bantuan pendidikan dari peringkat sekolah rendah hingga ke pengajian tinggi kepada anaknya, namun ia tidak ditunaikan biar pun tragedi itu sudah hampir 10 tahun berlalu.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MARA pertimbang kemasukan tiga anak Allahyarham Zulkifli ke MRSM