GEORGE TOWN – Bapa kepada seorang cahaya mata dijatuhkan hukuman penjara 33 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan meliwat, melakukan amang seksual serta merakam video pornografi terhadap seorang remaja lelaki pada 2019.
Hakim Mazdi Abdul Hamid memutuskan hukuman itu selepas tertuduh, Ahmad Jalaludeen Rahumathulla, 36, didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan berkenaan berdasarkan hujah pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, ejen insurans itu didakwa telah melakukan amang seksual fizikal iaitu dengan cara memasukkan zakar ke dalam duburĀ seorang remaja lelaki yang ketika itu berusia 14 tahun.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal iaitu melakukan onani terhadap remaja yang sama.
Kesalahan itu dilakukan pada Disember 2019 jam antara pukul 1 tengah hari dan 3 petang di alamat Desa Mawar dalam Daerah Timur Laut.
Bagi dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa membuat rakaman pornografi terhadap remaja tersebut di lokasi dan tarikh yang sama di mana didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aimy Zainul Anwar.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan 14 sebatan bagi pertuduhan pertama dan kedua.
Bagi pertuduhan ketiga, mahkamah mengarahkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan.
Hakim turut memerintahkan hukuman tersebut dijalankan bermula hari ini tanpa penangguhan selepas permohonan tiada penangguhan dibuat oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim.
Mengikut fakta kes, tertuduh berkenalan dengan remaja lelaki itu dengan menyamar sebagai seorang wanita di media sosial sebelum mengumpan mangsa menghantar gambar bogel.
Susulan itu, tertuduh menyamar sebagai individu lain konon mahu menyelesaikan masalah mangsa sebelum mengajak remaja itu melakukan pertemuan di sebuah restoran makanan segera.
Dalam pertemuan itu, tertuduh melakukan amang seksual, diliwat serta merakam gambar bogel mangsa sebelum menyebarkannya kepada kenalan mangsa di media sosial.
Kejadian itu terbongkar selepas rakan sekolah mangsa mendapat video bogel tersebut sebelum dimaklumkan kepada pihak sekolah. – MalaysiaGazette