KUALA LUMPUR – Pemain tengah Kelantan United FC, Khairu Azrin Khazali mengakui belum cukup untuk sekadar merasa puas apabila diberi peluang beraksi selepas tiada keputusan positif diperoleh dalam aksi Liga Super 2023 setakat ini.
Dia yang sebelum ini sukar mendapat peluang bermain ketika bersama Kedah Darul Aman FC pada musim lalu tidak menolak menghargai kepercayaan pengendali, Thomas Trucha untuknya membarisi kesebelasan utama musim ini.
Namun, ianya masih belum mencukupi kerana Kelantan United yang sekarang berada di tangga tercorot Liga Super masih gagal untuk meraih kemenangan dalam lima perlawanan setakat ini.
Apa yang pasti, pemain berusia 32 tahun itu tidak berputus asa dalam usaha untuk memberi impak positif kepada pasukan selain mahu memastikan mereka mampu bersaing lebih sengit dalam aksi akan datang.
“Sejujurnya saya memang puas apabila dapat beraksi tetapi ia belum cukup sebab kita tiada keputusan yang baik dalam lima perlawanan ini.
“Namun, jika nak dibandingkan dengan tahun lepas, memang musim ini adalah permulaan yang baik untuk saya apabila diberi kepercayaan dalam lima perlawanan sebelum ini.
“Walau apa pun, kita tidak boleh nak panik dengan keputusan yang kita dapat dan mahu atau tidak, pasukan kena teruskan perjuangan sampai kita dapat kemenangan,” katanya.
Tambahnya lagi, dalam tempoh Liga Malaysia berehat bagi memberi laluan kepada skuad Harimau Malaya, pasukan tetap menjalani latihan sambil menyifatkan ini adalah masa terbaik untuk mereka kembali menilai kelemahan pasukan.
Bagi Khairu Azrin, peluang Kelantan United untuk kembali bangkit mendaki kedudukan liga masih lagi ada dan tekad akan terus bekerja keras mengharungi Liga Malaysia dengan lebih aggresif.
“Sebenarnya, apabila kita tidak boleh menjaringkan gol dan manfaatkan peluang yang ada, dekat situlah yang kita susah nak dapat tiga mata.
“Itulah kekurangan pasukan sebenarnya dan saya percaya, saingan liga juga masih panjang, jadi kita masih ada masa untuk lihat balik dan teliti setiap kelemahan.
“Buat masa ini, kami tetap fokus kepada sesi latihan dan selepas ini pun kita dah nak berpuasa, jadi banyak benda yang kita kena lakukan untuk berlatih dengan baik,” tambahnya.
Kelantan United kini di tangga tercorot Liga Super selepas meraih satu mata sahaja apabila berdepan empat kekalahan dan satu seri setakat ini. – MalaysiaGazette