Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan gimik Ôflag offÕ pelepasan pasukan sukarelawan penjawat awam pasca banjir ke Johor di Bulatan Putra Perdana, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 21 MAC 2023.

PUTRAJAYA – Projek-projek tebatan banjir akan disegerakan untuk mengurangkan impak bencana itu di negara ini pada masa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau yang juga Menteri Kewangan sudah mengarahkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican untuk menyegerakan projek-projek tebatan banjir itu.

“Saya telah minta Perbendaharaan untuk segerakan proses tender segera untuk mengurangkan tekanan bagi tahun-tahun akan datang,” katanya ketika berucap melancarkan Pasukan Sukarelawan Perkhidmatan Awam (PSPA) Pasca Banjir ke Johor di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan konvoi PSPA di Putrajaya.

Perdana Menteri melepaskan 1,520 anggota Pasukan Sukarelawan Perkhidmatan Awam (PSPA) dari semua kementerian bagi membantu mangsa pasca banjir di Johor.

Dalam ucapannya, Anwar menghargai anggota terbabit yang sukarela untuk berkhidmat lebih daripada tugas hakiki.

“Ini satu permulaan yang baik sebelum Ramadan dan ini satu ibadah yang kita sempurnakan dengan baik. Saya doakan mudah-mudahan perjalanan lancar, bas pun sudah siap nak bergerak. Dua hari kerja sepenuh masa.

“Apa yang penting khidmat ini bukan tugas hakiki tapi tugas tambahan, sukarela. Tugas yang tidak kenal waktu penat lelah,” katanya.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Bin Mohd Ali.

“Kehadiran saudara-saudara, percayalah bagi rakyat yang tertekan di bawah memberi makna dan erti yang sangat besar. Saya berdoa saudara jalankan tugas dengan ikhlas, diberkati dan diperkuatkan tekad menghadapi Ramadan,” katanya.

Sebanyak 153 buah kenderaan yang terdiri daripada 26 buah bas, 16 buah van, lapan buah lori, 64 buah kenderaan pacuan empat roda dan 39 buah kereta digerakkan dalam operasi bantuan tersebut.

Anggota PSPA dikhususkan ke kawasan-kawasan yang terjejas di sekitar daerah Batu Pahat.

Manakala Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berperanan dalam mengatur usaha mobilisasi pegawai Perkhidmatan Awam.

Ia turut berfungsi menyelaras pembahagian kawasan terjejas banjir kepada pihak Kementerian bagi membantu kerja-kerja pembersihan dan kemanusiaan.

Usaha tertumpu dan bersasar kepada aspek pembersihan fasiliti perubatan, fasiliti pendidikan, bangunan-bangunan kerajaan serta tempat awam.

Bentuk bantuan yang telah dikenal pasti antaranya  tenaga kerja pembersihan, sumbangan bakul makanan, alatan pembersihan dan kelengkapan asas persekolahan, penyelenggaraan kenderaan kecil, baik pulih peralatan elektrik kecil termasuk kerja-kerja pendawaian berskala kecil serta khidmat sokongan psikologi dan kaunseling.

Kerajaan melalui Mesyuarat Pasca Kabinet Jabatan Perdana Menteri pada 17 Mac lalu telah memutuskan supaya PSPA  digerakkan semula bagi pengurusan pasca banjir di kawasan- kawasan yang terjejas.

Selaras dengan keputusan tersebut, pihak kementerian menentukan pegawai di agensi masing-masing untuk membantu melaksanakan tugas-tugas pasca banjir di kawasan yang terjejas teruk yang bertujuan meringankan kepayahan yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir. – MalaysiaGazette