QUITO – Wartawan di seluruh Ecuador telah menjadi sasaran alat letupan yang dihantar melalui pos.
Seorang penyampai berita, Lenin Artieda, cedera ketika dia membuka sampul surat di tengah-tengah bilik berita.
Katanya, alat letupan itu kelihatan seperti pemacu USB.
Semasa dia memasukkannya ke dalam komputernya, alat itu tiba-tiba meletup.
Jabatan peguam negara Ecuador mengesahkan telah membuka penyiasatan keganasan tersebut.
Meskipun ia tidak menamakan saluran berita yang menjadi sasaran, tetapi sekurang-kurangnya lima organisasi berbeza di seluruh Ecuador telah menerima kiriman sampaul tersebut.
Kerajaan telah mengutuk serangan itu, menyifatkan kebebasan bersuara sebagai “hak yang mesti dihormati”.
“Sebarang percubaan untuk menakut-nakutkan kewartawanan dan kebebasan bersuara adalah tindakan menjijikkan yang harus dihukum dengan semua ketegasan keadilan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menteri dalam negeri, Juan Zapata berkata, semua peranti itu dihantar dari bandar yang sama.
Tiga dihantar ke media di Guayaquil dan dua ke ibu negara, Quito.
Bagaimanapun, sampul surat lain tidak meletup atau tidak pernah dibuka.
Polis melakukan letupan terkawal ke atas salah satu peranti yang dihantar ke TC Television, pendakwa mengesahkan.
Ketua sains forensik Ecuador berkata, sampul itu mengandungi bahan letupan “jenis tentera”.
Ecuador telah mengalami peningkatan kes keganasan, yang menurut Presidennya, Guillermo Lasso, berpunca daripada persaingan antara kumpulan pengedar dadah untuk wilayah dan kawalan.
Negara ini digunakan sebagai laluan penyeludupan kokain dari Peru dan Colombia, telah menyaksikan peningkatan mendadak dalam pembunuhan dan jenayah berkaitan kumpulan dalam beberapa bulan kebelakangan ini. – Agensi