KUALA LUMPUR – Polis setakat ini sudah memanggil dan mengambil keterangan daripada lima orang individu untuk membantu siasatan polis berhubung penganjuran program ‘Jom Ziarah Gereja’ oleh sebuah badan bukan kerajaan di bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai ketika dihubungi berkata, kertas siasatan dalam kes berkenaan kini berada di peringkat akhir proses penelitian.
Katanya, kertas siasatan itu akan dilengkapkan dan dirujuk kepada pejabat Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.
“Setakat ini, kita (polis) sudah memanggil lima individu tempatan antaranya Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sendiri dan juga pengadu dalam kes ini iaitu Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard.
“Kesemua mereka telah selesai dirakam keterangan satu persatu dan kertas siasatan berkenaan kini di peringkat akhir penelitian dan akan dilengkapkan segera tidak lama lagi,” katanya sebentar tadi.
Ditanya mengenai dakwaan Chegubard berkaitan isu kaum terhadap pegawai polis yang melakukan siasatan dan mengambil keterangannya dan Hannah, Eng Lai bagaimanapun menjelaskan polis tidak pernah bertindak berat sebelah dalam mana-mana kes yang dikendalikan.
“Siasatan polis dalam kes ini dijalankan dengan penuh adil dan saksama,” tegasnya.
Ahad lalu, polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung penganjuran program ‘Jom Ziarah Gereja’ yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Segambut itu.
Pada 14 Mac yang lalu, Hannah semasa membuat penggulungan perbahasan Belanjawan 2023 kementeriannya pada sidang Dewan Rakyat memberitahu, program ‘Jom Ziarah Gereja’ yang dianjurkan itu tidak langsung melibatkan individu beragama Islam seperti mana diuar-uarkan oleh pihak tertentu di luar sana. – MalaysiaGazette