PEKAN – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perkenan untuk mengekalkan kadar zakat fitrah di Pahang sebanyak RM7.
Negeri itu juga akan melaksanakan kadar zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan iaitu RM7, RM14 dan RM21 seorang.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, seramai 934 orang amil telah ditauliahkan untuk melaksanakan urusan kutipan zakat fitrah di negeri itu.
“Umat islam di negeri ini dinasihatkan membayar zakat hanya kepada amil yang telah ditauliahkan dan menunaikan zakat lebih awal,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Katanya, individu yang didapati memungut zakat fitrah tanpa tauliah daripada MUIP boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM3,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013
Selain itu, MUIP juga menyediakan kemudahan pembayaran zakat fitrah secara atas talian melalui capaian ezakat.muip.gov.my.
Katanya, sempena Ramadan ini, MUIP mengagihkan bantuan menyambut Ramadan kepada 10,012 penerima zakat bulanan bernilai RM4.63 juta.
Selain itu, MUIP turut mengagihkan sumbangan ihya’ Ramadan kepada 628 masjid dan surau Jumaat di negeri itu melibatkan wang berjumlah RM4.244 juta.
Sempena Syawal pula, MUIP akan mengagihkan bantuan tahunan Aidilfitri berjumlah RM7.85 juta kepada 16,893 ketua isi rumah dan asnaf fakir miskin yang terdiri daripada penerima bantuan bulanan.
“Golongan saudara baharu dan saudara muslim juga akan menerima agihan bantuan tahunan hari raya aidilfitri berjumlah RM1,543,500 melibatkan seramai 8,627 ketua isi rumah dan ahli isi rumah.” katanya. – MalaysiaGazette