KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC merangkap Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan menerima Anugerah Thamilar Maamani pada Sidang Kemuncak Ekonomi Global 2023 dan Persidangan Ekonomi Tamil Dunia ke-9 di Dubai.
Anugerah berprestij itu mengiktiraf integriti, watak dan semangat kepimpinan yang luar biasa melalui kesusasteraan Tamil untuk peningkatan dan kesejahteraan masyarakat.
Thamilar Maamani merupakan anugerah berprestij yang diberikan kepada tokoh terkenal atas sumbangan mereka untuk masyarakat Tamil secara khusus serta global.
Anugerah itu yang diberikan kepada bekas Menteri Sumber Manusia itu bukan sahaja untuk ‘kehebatan’ beliau dalam dunia kesusasteraan Tamil sebaliknya juga mengiktiraf peranannya sebagai wakil rakyat yang menjuarai aspek pendidikan, sosial dan ekonomi.
Pada sidang kemuncak itu juga, Saravanan juga telah membentangkan satu kertas kerja bertajuk Cabaran dan Peluang Ekonomi Global.
Persidangan tahunan dan sidang kemuncak ekonomi selama tiga hari yang diadakan dari 18 hingga 20 Mac lalu turut menghimpunkan 800 pemimpin perniagaan, usahawan, ahli akademik, kumpulan bekerja sendiri dan dewan perniagaan.
Dalam wawancara bersama media Xklusif, Saravanan teruja dengan anugerah itu bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga untuk semua rakyat Malaysia kerana ia membawa pengiktirafan kepada negara secara menyeluruh.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penganjur forum atas penganugerahan ini. Ianya merupakan satu pengiktirafan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
“Anugerah ini adalah untuk negara, pengiktirafan seperti ini akan memacu kita untuk berjuang dan mencapai tahap yang lebih tinggi,” ujar Saravanan. -MalaysiaGazette