Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan (tiga kiri) memakaikan pangkat kepada Panglima Tentera Darat ke-29 baharu, Jeneral Datuk Seri Mohamad Ab Rahman (dua kanan) sambil disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (dua kiri) dan bekas Panglima Tentera Darat ke-28, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain (kiri) pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Panglima Tentera Darat di Auditorium MINDEF, Wisma Pertahanan. Foto MOHD ADZLAN, 22 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia akan tetap utuh, bersatu dan kekal fokus melaksanakan tanggungjawabnya dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta negara walaupun berlaku perubahan dalam kerajaan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rakyat dan negara amat mengharapkan sebuah angkatan tentera yang benar-benar utuh dan sentiasa siap siaga menjaga keselamatan.

“Harapan saya, kepimpinan baru ini akan dapat membawa Tentera Darat ke mercu kecemerlangan yang lebih tinggi,” katanya semasa berucap di istiadat serah terima tugas dan pelantikan Panglima TDM ke-29 iaitu Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman di Wisma Pertahanan pagi ini.

Ahli Parlimen Rembau itu juga berharap pengalaman luas serta daya kepimpinan tinggi yang dimiliki Mohammad selaku panglima TDM ke-29 berupaya menerajui Tentera Darat dengan lebih baik.

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada bekas Panglima TDM, Jeneral Tan Sri Zambrose Mohd Zain atas jasa-jasanya sepanjang 43 tahun berkhidmat demi negara.

“Terkenal dengan sifat tegas dan sentiasa mengutamakan tugas, Jeneral Tan Sri Zamrose telah berjaya membawa Tentera Darat ke satu aras yang tinggi sebagai sebuah angkatan yang kredibel dan dipercayai rakyat untuk memelihara keamanan dan kedaulatan negara.

“Atas kegigihan usaha beliau, Tentera Darat telah dapat meningkatkan kesiagaannya melalui perolehan aset-aset baru yang membolehkan ketumbukan ini melaksanakan peranannya dengan lebih meluas dan berkesan,” ujar beliau lagi.

Turut hadir ke majlis Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dan Ketua setiausaha Kementerian Datuk Seri Muez Abd Aziz.

Hadir sama, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan. – MalaysiaGazette