AYER KEROH – Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama meningkatkan martabat pendidikan yang lebih holistik.
Bagi menjayakan usaha itu, tiga organisasi berkenaan menganjurkan pertandingan Pidato dan Puisi Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) 2023, majlis anugerah Buku Negara 2023, pelancaran Kelab Penulis Melaka dan juga Wacana Industri Kreatif.
Pertandingan Pidato dan Puisi Antarabangsa DMDI itu telah mencipta sejarah, yang mana ia melibatkan pemidato dan pendeklamasi puisi dari serantau ASEAN yang berkampung selama dua hari di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKNN) Negeri, di sini, hari ini.
Menurut Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, pertandingan itu turut dihadiri wakil pemidato dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara.
Kata beliau, program itu dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat majmuk khususnya bakal guru dan mahasiswa mengenai pentingnya memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai alat penyatuan pelbagai kaum di negara ini.
“Program ini juga bertujuan mencungkil bakat dan kreativiti peserta berpidato dan berpuisi, membina keyakinan diri dan semangat juang yang tinggi, meningkatkan kemahiran berbahasa serta mengiktiraf usaha penulis serta penerbit buku melalui Anugerah Buku Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menyokong usaha dalam meningkatkan martabat Bahasa Melayu, Yang di-Pertua Melaka, Tun Seri Setia Dr. Ali Mohd Rustam hadir bagi merasmikan majlis perasmian di Panggung Seri, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengelola YPBN yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar; Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Dasar dan Perancangan) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mohd Amran Mohd Haris.
YBR pula diwakili Ketua Bahagian Operasinya, Mohd Mukhti Abd, Rahman dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Menurut Syaiful Rizal, galakan dan dorongan perlu diberikan kepada golongan berpidato, pemuisi, penulis serta penerbit buku yang sedikit sebanyak dapat menyedarkan rakyat.
Katanya, bidang penulisan, kreatif serta karya seperti pidato dan puisi boleh dijadikan sebagai sumber pekerjaan dan pendapatan.
“YBR bersetuju untuk menjadi pengajur bersama dengan harapan inisiatif ini juga secara tidak langsung dapat memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di mata dunia serta berbangga dengan penggunaan bahasa kebangsaan.
“Kerjasama ini merupakan langkah positif bagi membantu organisasi bukan berkeuntungan (NGO) setempat dalam menganjurkan program yang bermanfaat kepada masyarakat terutama mahasiswa dan guru,” katanya.
Beliau menjelaskan, sepanjang 2022, seramai 33,903 penerima manfaat telah menyertai program pembangunan masyarakat anjuran YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.6 juta melibatkan 72 program melalui inisiatif itu.
YBR juga berharap dengan penganjuran program seumpama itu, dapat memberi satu impak yang besar ke arah usaha membantu masyarakat melalui peluang pekerjaan serta meningkatkan kepakaran dan kreativiti dalam bidang industri kreatif. – MalaysiaGazette